Khamis, 11 Disember 2025

BN, Pas pernah janji untuk iktiraf Sijil UEC - DAPSY


Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) memaklumkan bahawa agenda pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukanlah perkara baharu kerajaan perpaduan malah, pernah termaktub dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Buku Jingga Pakatan Rakyat melibatkan Pas.


Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, S Liinesh berkata, pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri menolak usaha mengiktiraf UEC dilihat bercanggah dengan komitmen parti itu sebelum ini.


Menurut beliau, kenyataan kedua-dua wakil rakyat itu disifatkan sebagai hipokrit dan mengeruhkan usaha awal kerajaan untuk melaksanakan reformasi pendidikan negara.


"Motif Akmal Saleh mendakwa bahawa kewujudan sekolah-sekolah menengah persendirian Cina bertentangan dengan sistem pendidikan negara adalah jelas iaitu cuba sedaya upaya untuk mengeruhkan keadaan pada peringkat awal perbincangan dan membantutkan usaha kerajaan untuk melaksanakan agenda reformasi.


"Pengiktirafan UEC sebenarnya bukan agenda baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan perpaduan, malahan bukan janji Pakatan Harapan (PH) semata-mata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Liinesh berkata, sikap dwi standard oleh kedua-dua pemimpin sayap parti masing-masing itu juga menunjukkan pemahaman cetek mereka terhadap sistem kemasukan universiti.


"Universiti-universiti awam Malaysia sejak sekian lama telah menerima kelayakan A-Level, meskipun A-Level tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan majoriti pelajarnya juga bukan daripada sekolah kerajaan.


"Jika A-Level yang berstatus antarabangsa boleh diterima oleh universiti awam, kenapa dasar pendidikan negara boleh dijadikan sebagai alasan untuk menghalang pengiktirafan UEC?," ujarnya


Menurut Liinesh, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak turut mengiktiraf UEC, malah membenarkan pemegangnya memohon biasiswa negeri serta memasuki universiti di negeri berkenaan.


Jelasnya lagi, langkah itu membuktikan bahawa pengiktirafan UEC sebagai sebahagian dalam sistem pendidikan negara adalah praktikal dan tidak wajar dijadikan bahan politik.


"Kerajaan Perpaduan kini memikul komitmen untuk melaksanakan pelbagai agenda reformasi yang penting dan pengiktirafan UEC hanyalah salah satu bab kecil daripada agenda keseluruhan.


"Kerajaan juga perlu berpegang kepada manifesto pilihan raya serta tidak membiarkan kenyataan yang bermotifkan kepentingan politik sempit untuk membantutkan proses reformasi," katanya. - Sumber Sinar Harian.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon