PAS mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan memberikan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu melalui perbincangan, perundingan dan maklum balas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pada mesyuarat Perikatan nasional (PN) sebelum ini.
Katanya, walaupun parti itu tidak bersama pembentukan Kabinet Sabah yang diumumkan serta pelantikan menteri tetapi PAS menyokong kepimpinan Hajiji.
"Dengan pengumuman ini, saya yakin hubungan baik Aliakbar dan Hajiji memudahkan beliau melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai ADUN yang dipilih rakyat di DUN Karambunai.
"Saya juga memaklumkan secara rasmi dengan pendirian parti ini (PAS) yang turut dimaklumkan Aliakbar sendiri dan kita harapkan usaha ini akan mengukuhkan kerajaan Sabah dari segi sokongan kepada kepimpinan Hajiji.
"Insya-Allah, kita yakin dengan pengalaman Ketua Menteri mentadbir negeri sebelum ini," katanya sidang media di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.
Ditanya keputusan itu bertentangan dengan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ADUN Karambunai tidak menyertai kerajaan Sabah, Tuan Ibrahim berkata, tiada isu kerana kerusi itu dimenangi PAS.
Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menegaskan bahawa ADUN Karambunai daripada PAS tidak akan menyertai kerajaan Sabah.
Katanya, perkara terbabit jelas berdasarkan maklumat yang dibentangkan dalam mesyuarat parti, baru-baru ini.
"Setahu saya, kalau dia (wakil rakyat) PAS, dia kekal sebagai ADUN sahaja, tak ada menyertai kerajaan (Sabah)," kata Muhyiddin.


EmoticonEmoticon