Khamis, 11 Disember 2025

75 peratus kelewatan projek Kementerian Kerja Raya sebab kontraktor


Pengurusan lemah dan perancangan kewangan yang tidak teratur kontraktor yang dilantik merupakan dua punca utama kelewatan projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).


Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, masalah itu menyumbangkan 75 peratus kepada majoriti projek sakit di bawah kementerian berkenaan.


"Sebanyak 75 peratus sebab kelewatan projek (dibawah KKR) adalah sebab kontraktor, yang selebihnya itu pengambilan balik tanah dan utiliti.


"Kita tidak banyak sangat projek sakit ada sekitar lima peratus daripada banyak projek yang kita buat. Tetapi lima peratus itu kita tidak mahu kalau boleh.


"Terdapat dua sebab membabitkan kelewatan kontraktor iaitu pertama kerana kelemahan pengurusan projek, dan kedua kerana kelemahan pengurusan kewangan," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan surat setuju terima bagi dua projek Persekutuan di Johor, sempena Hari Profesional Teknikal Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru hari ini.


Menurut Ahmad, ramai kontraktor salah mengurus kewangan mereka, termasuk beranggapan bahawa bayaran pendahuluan pertama adalah keuntungan.


Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar kontraktor menilai keuntungan mereka selepas selesai projek yang dijalankan.


"Sebagai contoh kesilapan pengurusan kewangan. Jangan kontraktor mengambil keuntungan apabila dapat bayaran pertama, yang dianggap keuntungan itu tidak betul. Kaedahnya selepas siap projek baru dapat untung. Bukan bayaran pertama itu dikira untung.


"Saya harap dua perkara ini dapat diatasi kontraktor yang mendapat projek dari KKR. Atasi dua ini.


"Dari segi pengurusan projek antara komponen bahan binaan, hendaklah pada harga berpatutan dan mencukupi sama ada bahan atau sumber manusia iaitu pekerja. Tempoh masa juga perlu diteliti dan dihabiskan kerja mengikut tempoh masa ditetapkan," katanya.


Ahmad Maslan ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Profesiobal Teknikal Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru hari ini. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon