Ahad, 14 Jun 2026

Isteri kena penjara, denda akibat reka cerita konon dirompak demi raih perhatian suami

(Foto dijana AI)

Seorang wanita sanggup membuat laporan polis palsu konon dirompak kerana mahu menarik perhatian suami yang didakwa mempunyai hubungan dengan wanita lain.


Akibatnya wanita berusia 29 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Miri selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata tertuduh membuat laporan mendakwa dirinya menjadi mangsa rompakan pada 27 Mei lalu kira-kira jam 10 malam di tepi jalan berhampiran Gereja Miri Gospel Chapel, Pujut.


Menurutnya, berdasarkan laporan itu, wanita terbabit mendakwa disamun empat lelaki tidak dikenali yang menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux.


"Wanita itu turut mendakwa kehilangan barang kemas termasuk rantai, cincin, gelang tangan serta wang tunai RM350 dengan jumlah kerugian keseluruhan kira-kira RM3,130.


"Siasatan dilakukan dan didapati keterangan wanita terbabit mencurigakan selain tiada saksi bebas yang mengesahkan kejadian tersebut.


"Ia membongkar bahawa kejadian rompakan itu sebenarnya tidak berlaku. Wanita yang berasal dari Limbang itu akhirnya mengaku laporan tersebut direka semata-mata untuk mendapatkan perhatian suaminya yang bekerja di kawasan luar pesisir (offshore) Pulau Melayu," katanya.


Katanya, semua barang yang didakwa hilang ditemui semula selepas disorok oleh tertuduh di dalam bonet kenderaan miliknya sendiri.


Tambah beliau tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang membuat laporan palsu kerana ia membazirkan masa, tenaga serta sumber polis.


EmoticonEmoticon