Ahad, 14 Jun 2026

Penduduk Kampung Seri Aman, di Puchong tidak kisah sekolah Rohingya jika tidak buat masalah


"Kalau duduk bagus, baik, kita pun tak kisah. Tetapi kalau buat masalah siapa tak marah." Itu antara pandangan penduduk berhubung kewujudan sebuah sekolah pelarian yang dibina bagi memberikan pendidikan tidak formal kepada anak-anak etnik Rohingya di Kampung Seri Aman, Puchong.


Penduduk kampung, Mohd Khair Jack Irsa, 25, berkata, setakat ini tiada isu berbangkit yang timbul berhubung sekolah berkenaan dan pelajar terbabit juga tidak berkeliaran di kawasan kampung.


"Setakat saya tinggal di kampung ini saya nampak okay sahaja. Sekolah itu pun selalu kita dengar dia mengaji al-Quran, jadi dari satu sudut ia satu perkara yang bagus.


"Budak-budak itu dia buat aktiviti dalam sekolah sahaja, belajar ke, main bola ke. Setakat ini tak ada dengar lagi mereka buat masalah dengan orang kampung. Kalau mereka tinggal di situ, belajar agama, mengaji, kan bagus.


"Sekurang-kurangnya tidak buat benda-benda jenayah, tak buat maksiat, jadi kita tak kisah sangat mereka di sini. Tetapi risau juga kalau lama-lama mereka ramai sangat kan," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.


Baru-baru ini pelbagai isu berbangkit membabitkan pelarian Rohingya hangat diperkatakan ketika ini ditambah pula dengan perkongsian berhubung sekolah dan institusi tidak formal dibina secara haram menimbulkan kegusaran masyarakat.


Pengguna media sosial mula berkongsi sekolah pelarian di kawasan mereka susulan pendedahan sebuah sekolah etnik Rohingya di Kampung Ladang Titian di Terengganu.


Tinjauan Wartawan di sekitar Pusat Bandar Puchong dan kawasan berhampiran menemukan sekurang-kurangnya dua sekolah atau institusi pendidikan buat kanak-kanak pelarian terbabit.


Salah satunya terletak di sebuah kawasan tanah lot di Kampung Seri Aman, yang dibina di dalam kawasan berpagar membabitkan beberapa struktur bangunan dipercayai dijadikan sekolah dan asrama pelajar.


Pelajar sekolah, Shuib, 20, ketika ditemui berkata, premis itu ialah sekolah tahfiz yang dibangunkan bagi mendidik anak-anak pelarian Rohingya yang ditindas di negara asal mereka.


"Pengetua orang sini (Malaysia), dia jaga kita. Saya tak tahu rumah dia di mana tetapi dekat kawasan ini juga. Sini sekolah tahfiz ada budak-budak kecil dan besar (dewasa) macam saya umur sudah 20 tahun," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.


Wartawan cuba mendapatkan komen daripada wakil tenaga pengajar sekolah terbabit namun difahamkan bahawa pengetua tiada di premis pada hujung minggu.


Sementara itu, Ketua Kampung Seri Aman, Amali Pumiman ketika dihubungi berkata, sekolah itu sudah beroperasi sekurang-kurangnya sejak dua tahun lalu namun dia tidak pasti siapa pemiliknya.


"Betul memang ada sekolah itu, saya anggarkan ada di situ dalam dua tahun lebih kurang macam itu. Setakat ini saya rasa tidak ada masalah berbangkit membabitkan sekolah itu, mereka tak ada buat hal," katanya ringkas. - Sumber Harian Metro.


EmoticonEmoticon