Pertubuhan perubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menggesa Malaysia menghentikan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar yang dijadualkan pada 29 September ini berikutan risiko negara terbabit masih dilanda konflik dan keganasan.
MSF dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga menggesa Malaysia mendedahkan kewarganegaraan, umur dan risiko perlindungan yang dihadapi oleh individu yang dikenal pasti untuk dihantar pulang.
Katanya, ini memandangkan pelarian dan pemohon suaka yang berdepan dengan penganiayaan atau ancaman serius lain tidak boleh dihantar pulang.
"Selain itu, Malaysia juga perlu memastikan keperluan perlindungan setiap individu yang tertakluk pada proses penghantaran pulang dinilai secara menyeluruh berdasarkan piawaian antarabangsa.
"Meskipun bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, Malaysia tetap terikat dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang melarang pemulangan secara paksa iaitu kewajipan untuk tidak menghantar seseorang kembali ke negara yang boleh menyebabkan mereka berdepan dengan penganiayaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA), pada 2025, Myanmar menduduki tempat kedua di dunia dari segi keamatan konflik dan tempat keempat sebagai negara paling berbahaya bagi orang awam.
Lebih separuh daripada penduduk negara itu terdedah kepada keganasan dan berdepan dengan krisis kemanusiaan yang meruncing akibat konflik bersenjata, bencana alam dan ketidakstabilan ekonomi.
MSF sendiri sudah beroperasi di Myanmar sejak 1992 dan masih berada di Rakhine, Kachin, Shan Utara serta Yangon dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan, di samping melaksanakan program bekalan air, sanitasi dan kebersihan.
Menjelaskan lebih lanjut, MSF berkata, pada 5 Ogos lalu, Malaysia menyatakan bahawa proses penghantaran pulang tidak akan diteruskan sekiranya pelarian terbabit berisiko dianiaya atau nyawa mereka terancam.
"Namun demikian, pengumuman terbaharu Kerajaan Malaysia memberikan gambaran bahawa jaminan itu mungkin tidak lagi terpakai. Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap perlindungan hak asasi manusia.
"Pasukan kami menyaksikan sendiri bagaimana konflik dan ketidakamanan terus menjejaskan perkhidmatan kesihatan, bekalan makanan, pendidikan serta sumber mata pencarian masyarakat di pelbagai wilayah Myanmar," katanya.
MSF berkata, pelarian termasuk etnik Rohingya dan golongan minoriti lain yang dianiaya, sudah melalui dan masih menanggung penindasan serta keganasan selama berdekad-dekad.
Katanya, mereka terpaksa menjalani kehidupan yang serba terkekang dan terus berada dalam ketidakpastian sementara menunggu peluang penempatan semula dari Malaysia sekiranya peluang itu benar-benar tiba.
"Justeru MSF menggesa Malaysia menghentikan semua penghantaran pulang pelarian ke tempat yang masih dilanda keganasan dan bahaya yang memaksa mereka melarikan diri.
"Kerajaan juga perlu memastikan bahawa sebarang proses berkaitan dilaksanakan secara telus sepenuhnya serta mematuhi piawaian antarabangsa," katanya.

EmoticonEmoticon