Seorang lelaki yang mengabaikan 71 kucing di sebuah rumah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Panjang di Singapura yang kotor dengan pengudaraan buruk, tanpa bekalan elektrik dan air selama hampir dua tahun sehingga mengakibatkan sembilan daripadanya mati, dijatuhi hukuman penjara 16 minggu pada Rabu.
Lelaki berusia 37 tahun itu turut dilarang memiliki haiwan peliharaan selama 12 bulan, menurut Lembaga Taman Negara (NParks).
Muhammad Khairul Naim Zainol, pemilik bersama kediaman berkenaan, mengaku bersalah terhadap 24 pertuduhan mengikut Akta Haiwan dan Burung kerana menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada haiwan terbabit.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki itu dan bekas isterinya, Nurul Nadiah Noor Mohamed, membeli rumah flat HDB di Bukit Panjang itu pada Mac 2018. Mereka tidak memiliki haiwan peliharaan ketika itu.
Mulai awal 2019, pasangan itu memelihara beberapa ekor kucing. Oleh sebab tidak dimandulkan, kucing berkenaan membiak dengan pantas.
Sekitar April 2022, pasangan itu berpindah untuk tinggal bersama ibu bapa Khairul, tetapi meninggalkan semua kucing berkenaan di flat itu.
Keadaan kucing dan flat itu terbongkar pada 20 Februari 2024, selepas jiran memaklumkan kepada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) mengenai seekor kucing kurus dan dalam keadaan tertekan yang bertenggek di birai penyaman udara di tingkat tiga.
Jiran menyelamatkan kucing itu sebelum membawanya ke pusat veterinar untuk pemeriksaan kecemasan.
Mereka menemukan 61 kucing hidup, tiga bangkai yang mereput, enam tengkorak kucing dan satu beg berisi rangka sekurang-kurangnya enam kucing.
Khairul kemudian mengakui semua kucing itu miliknya dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Menurut kenyataan fakta kes, rumah flat itu didapati berada dalam keadaan sangat daif dan tidak bersih", dengan lantai serta perabot diselaputi najis dan kotoran, manakala bahan kumuhan ditemukan di seluruh unit.
Sarang labah-labah, lipas dan lalat turut ditemukan, selain bau ammonia yang kuat di seluruh unit.
Daripada 61 kucing hidup yang diperiksa, 44 dikategorikan sebagai kurus atau sangat kurus, manakala sembilan lagi mengalami susut badan yang teruk.
Khairul didakwa pada Mei lalu. Kedua-dua pemilik bersama rumah flat itu masing-masing berdepan 71 pertuduhan ketika itu. Kes Nadiah akan didengar pada 6 Oktober depan.

EmoticonEmoticon