Sabtu, 26 September 2026

Polis dipuji kembalikan jam Rolex emas tercicir kepada pemilik, bernilai lebih RM250,000


Polis sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Da Nang di Vietnam mengambil masa kurang 30 minit untuk mengesan pemilik jam tangan Rolex emas yang tertinggal di kawasan pemeriksaan keselamatan lapangan terbang itu, lapor VnExpress.


Sarjan Kanan Nguyen Duc Hoang menemukan jam tangan berkenaan di kawasan pemeriksaan keselamatan pada 17 September sebelum memaklumkan kepada pihak atasannya, menurut Polis Pintu Sempadan lapangan terbang itu pada Selasa.


Beliau kemudian bekerjasama dengan kakitangan terminal untuk membuat pengumuman mengenai barangan tercicir, menyemak rakaman kamera keselamatan dan menghubungi syarikat penerbangan terbabit.


Pemilik jam itu ialah Long Jianming, penumpang penerbangan AirAsia AK641 menuju ke Kuala Lumpur.


Beliau menerima semula jam berkenaan ketika pesawat bersiap untuk menutup pintunya. Jianming menganggarkan nilai jam tangan itu melebihi 1.6 bilion dong Vietnam (RM251,156).


Gambar polis menunjukkan jam itu ialah Rolex Cosmograph Daytona 126508-0004 yang diperbuat daripada emas kuning 18 karat.


Menurut laman web Rolex, jam tangan berkenaan dijual pada harga AS$55,200 (RM225,116) di Amerika Syarikat.


Sehari sebelum itu, pasukan keselamatan domestik unit berkenaan turut memulangkan barangan milik dua penumpang lain yang tertinggal, dengan nilai keseluruhan hampir 200 juta dong Vietnam (RM31,361).

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon