Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Isnin, 2 November 2026

Shah Rukh Khan kekal pelakon terkaya India, harta cecah RM4.28 bilion

Shah Rukh Khan kekal pelakon terkaya India, harta cecah RM4.28 bilion


Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon terkaya di India dengan nilai kekayaan dianggarkan mencecah 10,000 crore rupee (kira-kira RM4.28 bilion).


Anggaran itu berdasarkan Senarai Individu Terkaya Hurun India 2026, yang meletakkan pelakon berusia 61 tahun itu di kedudukan teratas dalam kalangan pelakon negara berkenaan.


Kekayaan yang dimiliki pelakon popular dengan gelaran King Khan itu bukan hanya hasil lakonan, malah turut disumbangkan pendapatan daripada tawaran sebagai duta jenama, syarikat produksi dan pelaburan dalam sektor sukan.


Bagaimanapun, nilai kekayaannya menunjukkan penurunan berbanding anggaran 12,490 crore rupee (RM5.36 bilion) dalam senarai sama pada 2025.


Shah Rukh memiliki syarikat produksi Red Chillies Entertainment yang ditubuhkan pada 2002 dan menerbitkan filem terkenal seperti Om Shanti Om, My Name Is Khan, Ra.One dan Don 2. Syarikat itu turut mengendalikan studio kesan visual Red Chillies VFX.


Beliau juga merupakan pemilik bersama francais kriket Kolkata Knight Riders (KKR) yang bersaing dalam Liga Perdana India (IPL), bersama pelakon Juhi Chawla dan suaminya, Jay Mehta.


Dalam bidang hartanah, antara aset utamanya ialah kediaman mewah Mannat di Bandra, Mumbai, yang dibeli pada 2001 dengan harga kira-kira 13.32 crore rupee (RM5.71 juta). Nilai semasanya dianggarkan mencecah 300 crore rupee (RM128.7 juta).


Pelakon filem Jawan itu turut dilaporkan memiliki vila di Palm Jumeirah, Dubai, apartmen di London serta rumah ladang di Alibaug, Mumbai.


Koleksi kenderaan mewahnya pula merangkumi Bugatti Veyron, BMW i8, BMW 7 Series, Audi A6, Mercedes-Benz, Rolls-Royce Phantom Drophead Coupe dan Bentley Continental GT.


Popularitinya turut menjadikan beliau antara selebriti paling mendapat permintaan untuk kempen pengiklanan jenama antarabangsa dan tempatan, termasuk Hyundai, BYJU'S, Vi, Foxtale serta Dubai Tourism.


Menurut laporan Economic Times, Shah Rukh dilaporkan menerima antara lima hingga 10 crore rupee (RM2.14 juta hingga RM4.29 juta) bagi setiap kontrak tajaan, dengan pendapatan tahunan daripada kerjasama jenama dianggarkan hampir 150 crore rupee (RM64.35 juta).

Ahad, 11 Oktober 2026

Salah guna pas lawatan sosial bekerja sebagai GRO, 8 wanita warga asing ditahan di Miri

Salah guna pas lawatan sosial bekerja sebagai GRO, 8 wanita warga asing ditahan di Miri


Lapan wanita warga asing ditahan selepas disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) tanpa permit kerja yang sah di sebuah pusat hiburan di Jalan Kubu, Miri pada 4 Oktober lalu.


Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri hasil risikan terhadap premis berkenaan.


Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun turut ditahan bersama lapan wanita warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun. Pemeriksaan mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.


Lelaki tempatan itu ditahan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah, manakala lapan wanita terbabit disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai GRO.



Mohd Farhan berkata, lelaki berkenaan direman selama dua hari sehingga 6 Oktober lalu, manakala lapan wanita warga asing itu ditahan selama 14 hari di Lokap Balai Polis Trafik Miri bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pekerja yang didapati bersalah.


Kes turut disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.


Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang melibatkan operasi premis hiburan.

Jumaat, 9 Oktober 2026

'Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam' - Tisha Shamshir

'Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam' - Tisha Shamshir


Pelakon Gerak Khas 2.0, Tisha Shamshir memohon maaf kepada penerbit, Datuk Yusof Haslam susulan kes dadah membabitkan dirinya yang menjejaskan kredibiliti pengarah terkenal itu.


Tisha atau nama sebenarnya, Shanorbiah Shamsir Alam, 40, berkata permohonan maaf serupa juga ditujukan kepada ahli keluarganya berikutan kes yang kini masih dibicarakan di mahkamah.


"Saya ingin memohon maaf kerana saya sedar perkara ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik majikan saya, Datuk Yusof Haslam. Saya juga ingin meminta maaf kepada keluarga saya. Saya doakan yang terbaik sahaja.


"Apa pun, ujian daripada Allah itu memang hebat, memang berat. Saya terima dengan hati terbuka dan harap saya kuatlah," kata Tisha selepas sebutan semula kesnya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.


Begitupun, pelakon juga penyanyi enggan mengulas lanjut mengenai prosiding berkenaan selain hanya meminta ruang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.


"Saya tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan. Maaf, saya minta maaf. Saya cuma nak menjalani kehidupan seperti biasa," ujarnya.


Pada masa sama, Tisha meminta netizen agar tidak terburu-buru menghukum seseorang tanpa mengetahui perkara sebenar.


"Apa yang boleh saya katakan di sini, kita semua manusia biasa. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan atau kekhilafan. Saya minta netizen di luar sana janganlah terlalu cepat untuk menghukum seseorang," katanya.


Ditanya mengenai kesan kontroversi tersebut terhadap kerjayanya, Tisha mengakui perkara itu sedikit sebanyak memberi impak terhadap perjalanan profesional sebagai pelakon.


"Sedikit sebanyak memang ada," katanya.


Semalam, pelakon itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.10 pagi berbaju kebaya moden serba biru, berkaca mata hitam dan diiringi pengawal peribadi. Hasil prosiding, mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.


Pada 7 Julai lalu, pelakon drama bersiri Gerak Khas 2.0 itu ditahan bersama beberapa individu lain di sebuah bilik VIP di sebuah pusat hiburan di ibu negara dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.


Serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama IPD Dang Wangi pada pukul 3.15 pagi.


Susulan itu, tertuduh, Tisha mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 10 Julai lalu dan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainna Maryam Norazman mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warganegara.


Tisha yang diwakili peguam bela, Nik Azhar Nik Adib memohon jumlah jaminan rendah dengan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan semalam sebagai tarikh sebutan semula kes.

Khamis, 8 Oktober 2026

Pertandingan siapa mampu tidur paling nyenyak tawar hadiah lebih RM51,000

Pertandingan siapa mampu tidur paling nyenyak tawar hadiah lebih RM51,000


Ketika Jepun sering dikaitkan dengan masalah kurang tidur, puluhan peserta menyertai pertandingan unik yang menguji siapa mampu melelapkan mata paling cepat dan tidur paling nyenyak.


Pertandingan dikenali sebagai Matt Race itu dianjurkan syarikat tilam, Koala Sleep Japan di Tokyo pada Isnin dengan hadiah utama bernilai lebih dua juta yen (RM51,630).


Dalam acara berkenaan, peserta dilengkapi alat pengesan tidur sebelum berbaring di atas tilam untuk tidur sehingga maksimum 90 minit.


Pemenang ditentukan berdasarkan dua kriteria utama, iaitu seberapa cepat peserta berjaya tertidur dan sejauh mana mereka dapat mencapai tidur yang nyenyak.


Suasana pertandingan turut direka bagi membantu peserta berehat dengan pencahayaan malap, manakala alat pemantauan dipasang pada kepala mereka bagi merekod corak tidur.


Sebahagian peserta turut membawa patung permainan ke atas tilam bagi membantu mereka lebih selesa ketika cuba melelapkan mata.


Pengarah Kreatif Koala Sleep Japan, Riichiro Nakama berkata, acara itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan tidur mencukupi.


"Jepun sering digambarkan sebagai negara yang mengalami kekurangan tidur dan masyarakat di sini memang sangat rajin.


"Dengan menjadikannya satu acara seperti ini, kami berharap orang ramai dapat tidur bersama-sama dan pada masa sama meningkatkan minat terhadap isu tidur," katanya.

Rabu, 30 September 2026

Kerap tayang emas dan wang mengundang padah, rumah dirompak

Kerap tayang emas dan wang mengundang padah, rumah dirompak


Tindakan YouTuber wanita India gemar mempamerkan emas dan wang milik keluarganya di media sosial mengundang padah apabila rumahnya dipecah masuk sebelum barangan kemas dilarikan pencuri.


Agensi berita PTI melaporkan, pencipta kandungan dikenali sebagai Madhumitha itu sebelum ini kerap memuat naik video mengenai gaya hidupnya termasuk menunjukkan wang tunai dan barang kemas milik keluarga.


Malah, dalam satu video tular, wanita itu dilihat mencurahkan sejumlah wang kertas 500 rupee (RM21) ke atas anaknya yang masih kecil sambil bercerita mengenai kehidupan mewah keluarganya.


Dia turut memberitahu dalam video berkenaan dirinya membeli barang kemas setiap bulan.


Polis kini mengesyaki pencuri mungkin memantau aktiviti Madhumitha di media sosial sebelum melakukan pecah di rumahnya di Nagercoil, Tamil Nadu.


Kandungan yang dimuat naik berkemungkinan memberi gambaran mengenai kekayaan keluarga berkenaan.


Kejadian disedari selepas Madhumitha dan keluarganya pulang daripada perjalanan singkat ke Tirunelveli sebelum mendapati rumah mereka sudah dipecah masuk.


Pemeriksaan mendapati barang kemas seberat kira-kira 118 sovereign (944 gram) yang disimpan di dalam almari hilang.


Susulan laporan dibuat, polis membuka siasatan dengan pakar cap jari dan pasukan forensik dihantar ke kediaman berkenaan bagi mengumpul bukti.

Ahad, 27 September 2026

Menang Lagu Rap Terbaik AIM 25, Yonnyboii gelisah terpaksa cukur botak

Menang Lagu Rap Terbaik AIM 25, Yonnyboii gelisah terpaksa cukur botak


Penyanyi rap, Yonnyboii sedang mempertimbang untuk mengotakan janji dibuatnya, iaitu mencukur botak kepala sekiranya memenangi trofi pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25, malam tadi.


Janji yang pada asal dibuat sekadar 'main-main' itu ternyata mendatangkan kegelisahan buat dirinya apabila mengakui tidak sepenuhnya bersedia untuk mengorbankan rambut yang sudah disimpan selama ini.


Ia berikutan, Yonnyboii atau nama sebenar, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 28, mengakui wajahnya akan kelihatan kurang menawan sekiranya tampil dengan imej botak, selain timbul rasa malu untuk berhadapan orang ramai.


"Isteri saya sebenarnya tak suka (imej botak), tapi saya sudah terjanji. Mungkin saya akan potong sikit saja, atau sekadar buat 'buzz cut', jadi saya minta bagilah peluang.


"Sebenarnya saya akan nampak tak okay kerana rupa saya buruk kalau botak," katanya pada sidang media AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), malam tadi.


Menerusi AIM 25, Yonnyboii melakar kejayaan peribadi apabila lagu Tanya Tuhan dendangannya bersama bintang rap terkenal, Malique diumum sebagai pemenang kategori Lagu Rap/Hip Hop Terbaik.


Kejayaan itu menyaksikan kolaborasi Yonnyboii dan Malique berjaya mengenepikan empat lagu lain seperti Last Time oleh Sonaone, 501 (Joe Flizzow), Kemana Ni (Kmy Kmo, Luca Sickt dan Salammusik) dan Meta Dergama (K.O.I).


Dalam pada itu, Yonnyboii mengakui tidak menjangkakan keputusan kategori berkenaan akan memihak kepadanya kerana hadir ke AIM 25 tanpa sebarang jangkaan tinggi.


Katanya, dia juga tidak menerima sebarang pemakluman awal mengenai kemenangannya dalam kategori berkenaan.


"Memang tak jangka saya akan menang, tiada orang bagi tahu. Tiba-tiba bila keputusan diumumkan, saya menang. Jadi, agak terkejut juga," katanya.

Sabtu, 26 September 2026

Polis dipuji kembalikan jam Rolex emas tercicir kepada pemilik, bernilai lebih RM250,000

Polis dipuji kembalikan jam Rolex emas tercicir kepada pemilik, bernilai lebih RM250,000


Polis sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Da Nang di Vietnam mengambil masa kurang 30 minit untuk mengesan pemilik jam tangan Rolex emas yang tertinggal di kawasan pemeriksaan keselamatan lapangan terbang itu, lapor VnExpress.


Sarjan Kanan Nguyen Duc Hoang menemukan jam tangan berkenaan di kawasan pemeriksaan keselamatan pada 17 September sebelum memaklumkan kepada pihak atasannya, menurut Polis Pintu Sempadan lapangan terbang itu pada Selasa.


Beliau kemudian bekerjasama dengan kakitangan terminal untuk membuat pengumuman mengenai barangan tercicir, menyemak rakaman kamera keselamatan dan menghubungi syarikat penerbangan terbabit.


Pemilik jam itu ialah Long Jianming, penumpang penerbangan AirAsia AK641 menuju ke Kuala Lumpur.


Beliau menerima semula jam berkenaan ketika pesawat bersiap untuk menutup pintunya. Jianming menganggarkan nilai jam tangan itu melebihi 1.6 bilion dong Vietnam (RM251,156).


Gambar polis menunjukkan jam itu ialah Rolex Cosmograph Daytona 126508-0004 yang diperbuat daripada emas kuning 18 karat.


Menurut laman web Rolex, jam tangan berkenaan dijual pada harga AS$55,200 (RM225,116) di Amerika Syarikat.


Sehari sebelum itu, pasukan keselamatan domestik unit berkenaan turut memulangkan barangan milik dua penumpang lain yang tertinggal, dengan nilai keseluruhan hampir 200 juta dong Vietnam (RM31,361).