Ahad, 15 Mac 2026

Kerajaan Persekutuan komited tunaikan hak hasil 40 peratus kepada Sabah - Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan kekal komited menghormati dan menunaikan komitmen pemberian tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah kepada rakyat negeri ini.


Perdana Menteri berkata tidak ada sebarang rundingan berhubung perkara terbabit kerana kerajaan sudah memberi jaminan tegas berhubung komitmen itu.


"Jawapan saya begini. Kita tidak merayu kes 40 peratus (hak hasil) itu, itu sudah tutup kes... tiada perbincangan. Setakat ini, kita telah memberikan jaminan jelas dan tegas bahawa ia komitmen yang kukuh.


"Ia adalah keputusan yang saya umumkan dalam Kabinet dan juga di Parlimen... tiada rundingan. Kita komited untuk menunaikan komitmen 40 peratus kepada rakyat Sabah," katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Perdana Menteri bertempat di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2 Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu hari ini.


Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengiktiraf hak Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada negeri itu bagi tempoh antara 1974 hingga 2021, yang sering dirujuk sebagai "tahun-tahun yang hilang."


Perdana Menteri memaklumkan dalam penghakiman itu terdapat beberapa isu yang mempersoalkan peranan pemimpin Persekutuan.


"Keputusan penghakiman itu ada isu menyinggung, malah mempertikaikan peranan pemimpin-pemimpin sejak zaman Tun Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Datu Mustapha Harun, Tun Fuad Stephen, Tan Sri Haris Salleh, Tan Sri Pairin Kitingan, juga pemimpin yang dipilih oleh rakyat Sabah.


"Ia tidak wajar, itu pandangan kita. Oleh itu, kita membawa perkara ini ke mahkamah untuk mendapatkan penjelasan.


"Adakah ia menjejaskan isu 40 peratus? Perkara itu tidak timbul sama sekali. Isu 40 peratus sudah pun selesai dan kita tidak akan mempertikaikannya," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon