Seekor anak monyet berusia enam bulan, dinamakan Punch, mencuri perhatian ramai selepas ditinggalkan oleh ibunya dan menemui 'pengganti' dalam pelukan sebuah patung orang utan.
Punch-kun, seperti yang dipanggil dengan penuh kasih sayang, dilahirkan pada 26 Julai 2025 di Zoo Bandar Ichikawa, Tokyo, dengan berat hanya 500 gram.
Ibunya, yang keletihan akibat kelahiran pertamanya pada musim panas, gagal menjaga anaknya.
Menyedari bayi monyet itu dalam bahaya, penjaga zoo Kosuke Shikano dan Shumpei Miyakoshi mengambil alih tanggungjawab membesarkannya.
Apabila dipindahkan ke kawasan kurungan bersama monyet lain, Punch menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan kumpulan itu.
Untuk menggantikan kasih sayang ibu, membantu mengatasi keresahan dan kesepian, penjaga menyediakan beberapa tuala dan mainan lembut, tetapi Punch memilih sebuah patung orang utan yang lebih besar daripadanya.
Punch memperlakukan mainan itu seperti ibu yang tidak pernah dimilikinya, termasuk tidur, makan dan bermain bersamanya setiap hari.
Dalam pada itu, keterikatan Punch terhadap mainan itu juga mengejutkan kakitangan zoo dan memikat hati orang ramai di Jepun serta seluruh dunia.
Menurut media tempatan, gambar Punch bersama mainannya menjadi tular dan menarik perhatian ramai dalam talian.
Susulan itu juga, barisan panjang terbentuk di zoo kerana penduduk tempatan dan pelancong ingin melihat Punch serta memberi sokongan atau ucapan selamat.
Zoo itu menegaskan, Punch kini secara beransur-ansur memperdalam interaksi dengan monyet lain dalam kumpulannya.
"Punch mengalami pelbagai pengalaman harian seperti digosok, bermain-main dan ditegur, sambil belajar bagaimana untuk hidup dalam kumpulan sebagai seekor monyet," kata pihak zoo.
Ramai pengunjung berkongsi pengalaman mereka di media sosial, memuji kelucuan Punch tetapi ada juga yang menyuarakan rasa sedih dan kebimbangan terhadap kesejahteraannya.



EmoticonEmoticon