Kerajaan berpotensi menanggung tambahan beban subsidi di antara RM3 bilion hingga RM5 bilion bagi setiap suku tahun, sekiranya harga petrol RON95 terus dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter ketika harga minyak mentah global mula melepasi paras AS$100 setong.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata kenaikan harga minyak dunia akan meningkatkan kos subsidi kerajaan jika harga runcit bahan api domestik tidak diselaraskan.
"Jika kerajaan mahu mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter ketika harga minyak dunia meningkat, beban subsidi kerajaan boleh bertambah sekitar RM3 bilion hingga RM5 bilion bagi tempoh tiga bulan," katanya.
Mohd Sedek berkata, impak sebenar kepada ekonomi dunia dan Malaysia pula akan bergantung kepada tempoh serta skala krisis geopolitik yang berlaku.
Beliau mengandaikan krisis hanya menjejaskan kawasan Asia Barat dan berlanjutan sekitar tiga bulan, namun keadaan itu masih berpotensi memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global serta meningkatkan tekanan inflasi.
"Walaupun harga minyak yang lebih tinggi boleh meningkatkan hasil petroleum negara serta potensi dividen, tetapi ia tidak berlaku serta-merta kepada kedudukan fiskal kerajaan," katanya.
Pada masa sama, Mohd Sedek berkata, nilai ringgit dijangka kekal stabil, namun pasaran saham mungkin menjadi lebih berhati-hati apabila harga minyak melepasi AS$100 setong kerana pelabur akan menilai semula premium risiko dan jangkaan keuntungan syarikat.
Harga minyak kelmarin melonjak lebih 25 peratus ke paras tertinggi sejak pertengahan 2022 selepas beberapa negara pengeluar utama mengurangkan bekalan, selain kebimbangan terhadap gangguan berpanjangan kepada penghantaran minyak susulan perang yang semakin meluas antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
Pasaran tenaga menjadi sangat cemas kerana krisis itu berlaku di sekitar Selat Hormuz, laluan yang biasanya menyalurkan kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak dunia.
Gangguan pergerakan kapal tangki serta peningkatan risiko keselamatan telah memperlahankan aktiviti penghantaran, sekali gus menyebabkan pembeli di Asia paling terdedah memandangkan kebergantungan tinggi mereka terhadap minyak mentah dari Asia Barat.
Semalam, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$24.96 atau 27 peratus kepada AS$117.65 setong pada 0451 GMT, berada di landasan untuk mencatat lonjakan harian terbesar dalam sejarah, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik AS$25.72 atau 28.3 peratus kepada AS$116.62 setong.
Sementara itu, Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata kenaikan harga minyak mentah global melepasi paras AS$100 setong disifatkan sebagai situasi 'pedang dua mata' kepada Malaysia kerana ia berpotensi meningkatkan hasil negara, namun pada masa sama memberi tekanan kepada inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Katanya, sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia berpeluang menikmati peningkatan pendapatan eksport serta hasil kerajaan sekiranya harga komoditi itu kekal tinggi.
Beliau berkata, manfaat itu datang terutamanya melalui dividen dan cukai daripada syarikat minyak nasional, PETRONAS, yang boleh membantu memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan dan menyokong imbangan perdagangan negara.
"Apabila harga minyak meningkat, pendapatan kerajaan daripada sektor minyak dan gas biasanya turut bertambah, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal serta menyokong ekonomi negara," katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa kenaikan harga minyak global turut membawa implikasi negatif kepada ekonomi domestik kerana ia lazimnya meningkatkan kos bahan api, pengangkutan dan logistik.
"Situasi ini boleh memberi tekanan kepada harga makanan serta kos sara hidup rakyat, khususnya apabila kos operasi perniagaan meningkat dan akhirnya dipindahkan kepada pengguna," katanya.
Samirul berkata, dalam keadaan Malaysia masih mengekalkan subsidi bahan api, harga minyak dunia yang tinggi juga boleh meningkatkan beban fiskal kerajaan sekiranya harga runcit domestik terus dikawal.
Beliau menjelaskan, cabaran utama kepada kerajaan ialah memastikan manfaat daripada harga minyak yang tinggi dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi negara, sambil pada masa sama mengurus kesan inflasi dan tekanan kos terhadap rakyat serta perniagaan.

EmoticonEmoticon