Sebuah kedai makan di Tok Bali, Pasir Puteh diserbu pihak berkuasa selepas dipercayai menjalankan aktiviti hiburan berupa karaoke tanpa lesen sah dalam satu Operasi Bersepadu Kawalan Hiburan lewat malam pada Sabtu lalu.
Premis tersebut dipercayai seolah-olah tidak menghormati kesucian bulan Ramadan apabila meneruskan operasi berkenaan.
Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dalam satu kenyataan berkata, operasi jam 11 malam itu dijalankan hasil kerjasama pihaknya bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh serta Pejabat Agama Pasir Puteh.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti hiburan tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa tempatan.
"Susulan itu, tindakan diambil terhadap premis terbabit di bawah Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen daripada MDPP," katanya.
Menurut kenyataan tersebut, pihak penguat kuasa turut menyita satu set peralatan karaoke yang mengandungi lapan item sebagai barang kes bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 enakmen yang sama.
Ujarnya, jika disabitkan kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM25,000.
"Kesalahan itu juga boleh dibawa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, pesalah berdepan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Pihak berkuasa menegaskan operasi penguatkuasaan seperti ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis hiburan di daerah ini mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.


EmoticonEmoticon