Seorang penceramah agama dikenali tuan guru yang juga pengerusi sebuah madrasah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan mencabul isteri pengikut kuliahnya tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Salleh Hamzah, 70, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap peniaga sebuah restoran terkenal di Melaka, wanita berusia 46 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah vila di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, dalam daerah Alor Gajah kira-kira jam 9 pagi pada 1 November tahun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 berserta syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, peguam, Muhammad Denial Khairul Hizam memohon jaminan rendah sekitar RM3,000 dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.
Menurutnya, tertuduh yang merupakan guru agama perlu menanggung seorang isteri dan hanya bergantung kepada sumbangan orang awam sebagai penceramah.
Selain itu, tertuduh juga menanggung kos rawatan di hospital kerana menghadapi masalah radang perut serta sakit saraf.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 14 April ini.
Difahamkan, kes berlaku apabila suami mangsa yang juga merupakan pengikut kuliah agama suspek yang digelar 'tuan guru' menerima panggilan telefon memintanya menghantar isteri dan anak perempuannya ke vila berkenaan.
Setibanya di vila tersebut, suspek didakwa mengarahkan mangsa yang juga pengikutnya mengurut badannya serta memberi amaran kononnya akan ditimpa musibah sekiranya ingkar, selain mendakwa tindakan itu sebagai tidak menghormati 'tuan guru'.
Suspek kemudian didakwa menolak mangsa ke atas katil, menghempap badannya serta menggosok kemaluannya pada bahagian kaki paha mangsa selain meramas payudara wanita itu.
Selepas kejadian, mangsa dalam keadaan trauma membawa anaknya keluar dari villa berkenaan sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

EmoticonEmoticon