KUALA LUMPUR - Dua lelaki yang tular selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka merempuh beberapa kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada polis di Bukit Antarabangsa, di sini, didakwa di tiga mahkamah berasingan di Ampang, pada Khamis.
Kedua-dua tertuduh, pemandu peribadi Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi, 32, dan mekanik Mohamad Danial Haiqal Kamal Arifin, 21, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan.
Mereka berdepan beberapa pertuduhan bersama, termasuk memiliki senjata berbahaya iaitu parang dan sabit di tempat awam, menghalang tugas polis serta memandu secara berbahaya menggunakan sebuah Isuzu D-Max.
Selain itu, kedua-duanya turut didakwa gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung pemilikan pelbagai peralatan mencurigakan, antaranya pemotong wayar, tukul besi, tuil besi dan sepana boleh laras.
Muhammad Putra Zulfaiz turut berdepan pertuduhan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan berkenaan serta memasukkan dadah jenis amfetamina dan metamfetamina ke dalam badan. Mohamad Danial Haiqal pula didakwa secara berasingan atas kesalahan memasukkan dadah sama ke dalam badannya.
Bagi pertuduhan menghalang tugas polis, mereka didakwa melarikan diri ketika anggota polis cuba menjalankan pemeriksaan pada 10 dan 11 Oktober lalu.
Mahkamah membenarkan Muhammad Putra Zulfaiz diikat jamin keseluruhan RM13,000, manakala Mohamad Danial Haiqal RM8,000 bagi pertuduhan di hadapan Majistret Siti Nur Ain Ariffin.
Bagaimanapun, jaminan bagi pertuduhan lain tidak dibenarkan oleh Hakim Norshila Kamarudin dan Majistret Tiong Wen Wen berikutan ketiadaan penjamin pada prosiding berkenaan.
Kesemua mahkamah menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula.
Pada 11 Oktober lalu, polis menahan kedua-dua lelaki itu selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh beberapa kenderaan awam sebelum berjaya dipintas di persimpangan Jalan Jelatek–Jalan Taman Setiawangsa.

EmoticonEmoticon