Langkah kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat disifatkan sebagai tindakan proaktif dalam melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis, Syazwan Fahmi Badrul Sham berkata, langkah tersebut membuktikan komitmen kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Menurutnya, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan tegas dan bertanggungjawab dalam menangani perkembangan konflik tersebut.
"Kenyataan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Jemaah Menteri memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan serantau, kestabilan ekonomi global serta kebajikan rakyat Malaysia yang mungkin terjejas akibat ketegangan di rantau berkenaan.
"Antara langkah penting yang diumumkan termasuk pendirian tegas Malaysia mengecam serangan terhadap Iran selain usaha diplomasi aktif dengan menghubungi pemimpin negara Teluk, Turki, Indonesia dan Menteri Luar Iran bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan konflik daripada terus merebak," katanya dalam satu kenyataan.
Syazwan Fahmi berkata, kerajaan juga memberi jaminan bahawa bekalan petroleum negara berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini hasil pengurusan cekap oleh Petronas bersama kerajaan.
Menurutnya, tindakan mengekalkan harga petrol RON95 di bawah inisiatif Budi Madani pada paras RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat membuktikan kesungguhan kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
"Kerajaan turut memperkukuh penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api yang berpotensi meningkat susulan perbezaan harga bahan api antara Malaysia dan negara jiran.
"Sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II juga ditubuhkan bagi memantau impak ekonomi konflik tersebut secara berterusan supaya langkah segera dapat diambil bagi memastikan kestabilan ekonomi negara," ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan turut menunjukkan kebertanggungjawaban fiskal apabila memutuskan semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini sebagai langkah berjimat cermat menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, PKR Perlis juga menghargai usaha kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas di kawasan Asia Barat.
"Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan pendekatan yang seimbang antara diplomasi antarabangsa, pengurusan ekonomi yang berhemah serta perlindungan kebajikan rakyat.
"Seluruh rakyat Malaysia diminta terus menyokong usaha kerajaan Madani dalam memastikan negara kekal stabil, selamat dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar," jelasnya.

EmoticonEmoticon