Kehidupan penduduk tempatan di Jalan Pulau Senang 3, Melaka, yang tinggal berjiran dengan komuniti pelarian Rohingya didakwa sering berdepan pelbagai masalah sosial dan gangguan yang ditimbulkan segelintir golongan itu.
Malah, penduduk mendakwa Jalur Gemilang yang dipasang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu pernah dipijak oleh kanak-kanak pelarian berkenaan, sekali gus menimbulkan rasa kecewa dan marah dalam kalangan penduduk setempat.
Penduduk, Yusriza Yahya, 40, yang juga suri rumah, berkata kejadian itu antara pengalaman paling menyakitkan hati dan menyedihkan sepanjang lebih tiga tahun menetap di kawasan berkenaan.
"Saya pasang Jalur Gemilang dengan semangat patriotisme, tetapi sedih apabila melihat anak-anak mereka memijak bendera itu.
"Saya kecewa apabila melihat perkara itu berlaku sepatutnya mereka bersyukur kerana dapat menumpang tinggal di Malaysia," katanya yang berkerusi roda.
Yusriza berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem bersama pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), yang turut disertai Datuk Bandar Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman dan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Pulau Senang 3, Semabok, Melaka malam tadi.
Menurut Yusriza, penduduk juga sudah muak dengan pelbagai masalah sosial termasuk pergaduhan, mabuk serta gangguan bunyi bising yang menjejaskan ketenteraman kawasan kejiranan itu.
Katanya, kenderaannya juga pernah menjadi mangsa vandalisme sehingga menyebabkan cermin kereta retak, namun dia dan keluarga masih menetap di situ kerana tidak mempunyai pilihan lain memandangkan kadar sewa rumah yang rendah.
"Sewa rumah cuma RM400 dan dibayar oleh MAIM (Majlis Agama Islam Melaka). Namun, disebabkan keadaan kesihatan saya dan suami yang sudah berusia, inilah rumah yang kami mampu duduki.
"Walaupun kadang-kadang rasa tak selesa, tapi kami hanya mampu menjaga anak-anak dan keluarga sendiri," katanya yang menghidap diabetes kronik.
Sementara itu, suaminya, Man Yusof, 64, mendakwa sebahagian daripada pelarian terbabit semakin berani dan kurang menghormati penduduk tempatan.
Menurutnya, beliau menyokong tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa termasuk wakil rakyat kawasan bagi memastikan keamanan dan keharmonian penduduk setempat terus terpelihara.
"Ada yang baik, tidak mengapa, tetapi ada juga yang seolah-olah tidak bersyukur kerana diberi peluang tinggal di negara ini sehingga menimbulkan pelbagai masalah dan kebimbangan kepada penduduk," katanya. - Sumber Harian Metro.

EmoticonEmoticon