Ucapan aktivis Rohingya, Noor Azizah yang menyentuh isu nasib pelarian Rohingya di Malaysia ketika menerima Anugerah Marie Claire Women of the Year bagi kategori Voice of Now 2025 di Australia, mengundang kecaman warga net yang menyifatkannya tidak menghargai bantuan dan perlindungan yang diberikan negara ini kepada komuniti berkenaan.
Dalam ucapan yang tular di media sosial, Noor Azizah berkata, lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya di Malaysia kini ditempatkan di pusat tahanan imigresen dan membesar di sebalik jeriji besi berbanding berada di dalam bilik darjah.
Wanita itu turut membangkitkan isu yang dihadapi komuniti Rohingya di negara serantau lain termasuk Indonesia dan Thailand, selain menceritakan pengalaman penganiayaan yang dialami etnik itu sejak melarikan diri dari Myanmar.
"Selepas kami melarikan diri dari Myanmar, keganasan terus mengekori kami. Anda mungkin mengenali Malaysia, Indonesia dan Thailand sebagai destinasi percutian untuk anda dan keluarga.
"Di Malaysia hari ini, lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya dikurung di pusat tahanan imigresen, membesar di sebalik jeriji besi dan bukannya di dalam bilik darjah.
"Di Indonesia, ucapan kebencian, maklumat palsu dan disinformasi membanjiri media sosial, manakala di Thailand sindiket pemerdagangan manusia memperdagangkan tubuh Rohingya seperti mata wang," katanya dalam ucapan berkenaan.
Difahamkan ucapan itu disampaikan Noor Azizah yang kini menetap di Australia pada majlis yang berlangsung pada November tahun lalu sebelum video petikan ucapannya berdurasi satu minit 18 saat itu tular di platform Threads sejak semalam.
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang mempertikaikan tindakan wanita itu mengkritik Malaysia ketika berada di pentas antarabangsa.
Seorang pengguna media sosial, m.shuhaimisalleh mempersoalkan mengapa Noor Azizah tidak memberi tumpuan kepada isu penghapusan etnik Rohingya oleh Junta Myanmar yang menjadi punca utama krisis pelarian berkenaan.
"Dia sepatutnya menggunakan pentas yang diberikan untuk mengecam kekejaman Junta Myanmar dan bukannya menumpukan kritikan terhadap negara-negara ASEAN yang menerima pelarian Rohingya," katanya.
Sementara itu, doredeee pula menyifatkan Noor Azizah sebagai individu yang tidak menghargai peluang dan perlindungan yang pernah diberikan Malaysia kepada komuniti Rohingya.
"Dia berlindung di Malaysia dan mendapat peluang kedua, tetapi memilih untuk mengkritik negara yang memberi perlindungan kepada rakyatnya," katanya.
Seorang lagi pengguna, loveiskayla18, berpendapat Noor Azizah seharusnya memberi fokus kepada perjuangan mendapatkan hak etnik Rohingya di Myanmar dan bukannya mengkritik negara yang pernah membuka pintu kepada pelarian berkenaan.

EmoticonEmoticon