Sabtu, 26 September 2026

Pelancong rimas, ‘ulat foto’ cop sudut menarik di KLCC hingga rosakkan mood bercuti


Kegiatan ulat foto atau jurugambar tidak berlesen di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Pintasan Saloma (Saloma Link), di Kuala Lumpur dikesan kembali berleluasa sehingga menimbulkan rasa rimas dalam kalangan pelancong.


Selepas menyepi akibat operasi pihak berkuasa, kumpulan ulat foto berkenaan kini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan apabila dilihat kembali 'berkampung' di lokasi tumpuan terbabit.


Tinjauan mendapati mereka semakin berani memancing mangsa dengan menghampiri pelancong secara agresif untuk menawarkan khidmat mengambil gambar, sebelum mengenakan bayaran tertentu yang kadangkala tidak munasabah.


Modus operandi mereka ialah berkumpul di kawasan strategik, menahan pelancong yang lalu-lalang, malah ada yang bertindak mengambil gambar tanpa kebenaran terlebih dahulu sebelum mendesak pelancong membelinya.


Pelancong yang ditemui meluahkan perasaan tidak selesa dengan taktik kumpulan ini yang disifatkan agak memaksa dan mengganggu privasi.


Pelancong dari Indonesia, Aryanto Wibowo, 34, berkata, dia dan keluarganya dihampiri lebih lima jurugambar berbeza dalam tempoh kurang 20 minit ketika berada di lampu isyarat KLCC.


"Niat kami cuma mahu bersantai dan merakam kenangan guna telefon pintar sendiri. Tapi bila asyik ditahan dan ditawar khidmat gambar berbayar secara berterusan, ia mula buat kami berasa kurang selesa.


"Bila kita tolak cara baik, ada antara mereka yang tunjuk riak wajah tidak puas hati dan masih mengekori. Ini sedikit sebanyak merosakkan 'mood' percutian kami," katanya.


Pengunjung tempatan, Nurul Natasha Alias, 26, yang berkunjung ke Saloma Link terkejut apabila ruangnya untuk bergambar sering diganggu individu yang menawarkan khidmat berkenaan.


"Mereka (ulat foto) ini seolah-olah sudah 'cop' kawasan sudut yang cantik. Kalau kita berdiri di situ, mereka akan datang himpit dan halang laluan.


"Bagi pelancong asing mungkin ada yang tak kisah bayar, tapi cara mereka 'approach' (mendekati) itu terlalu mendesak. Kalau dibiarkan, ia boleh memburukkan imej pelancongan negara di mata dunia," katanya.


Sementara itu, seorang pelancong Eropah yang hanya mahu dikenali sebagai Mark, 40, menyifatkan pengalaman berjalan di kawasan itu sedikit terganggu.


"Pemandangan di sini sangat menakjubkan, malangnya saya terpaksa menepis tawaran jurugambar ini berkali-kali. Saya faham mereka mahu mencari rezeki, tetapi cara mereka menghalang laluan pelancong adalah tidak profesional," katanya.


Orang ramai dan pelancong kini menggesa pihak berkuasa, terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi penguat kuasa pelancongan agar melakukan pemantauan secara penyamaran serta rondaan berkala bagi membanteras kegiatan ini daripada terus membarah.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon