Sabtu, 26 September 2026

Bukan hadiah cinta itu adalah pinjaman, lelaki diperintah bayar lebih RM1 juta kepada bekas kekasih


Mahkamah Tinggi Singapura memerintahkan seorang guru tuisyen juga pekerja kafe membayar balik S$321,116.40 (RM1,024,027.88) kepada bekas teman wanitanya selepas mendapati wang itu adalah pinjaman, bukannya hadiah atas dasar kasih sayang.


Hakim Alex Wong membuat keputusan itu pada Khamis lalu selepas mendapati Chee Wei Jun memang berniat membayar semula wang berkenaan, selain sengaja menggambarkan dirinya sebagai individu berstatus lebih tinggi bagi menarik perhatian wanita itu.


Mahkamah mendapati Teow Seok Phen, seorang pengurus kewangan, terpedaya dengan gambaran berkenaan dan perkara itu antara faktor mendorongnya meminjamkan wang kepada Chee.


Pasangan itu berkenalan menerusi platform janji temu dalam talian Coffee Meets Bagel pada Jun 2023 sebelum menjalin hubungan tidak lama kemudian.


Sepanjang hubungan itu, Teow memindahkan wang menerusi PayNow, memberikan wang tunai serta membenarkan Chee menggunakan kad kreditnya.


Teow mendakwa dia menyerahkan hampir semua wang simpanannya, selain membuat pendahuluan tunai dan pemindahan baki kad kredit untuk membantu Chee yang mendakwa akaun banknya dibekukan selepas mengklik pautan penipuan.


Chee mendakwa wang itu diberikan atas dasar kasih sayang kerana Teow memahami masalah kewangannya. Dia turut menafikan menggunakan kad kredit wanita itu kecuali sekali.


Bagaimanapun, mahkamah mendapati Chee beberapa kali berjanji membayar semula wang berkenaan, termasuk menerusi mesej WhatsApp. Dalam mesej pada Ogos 2023, dia berjanji membayar balik sepenuhnya setiap bantuan diterimanya.


Hakim Wong turut mendapati Teow menyimpan rekod jumlah wang yang dipinjamkan, sekali gus menyokong keterangannya bahawa wang itu bukan hadiah.


Mahkamah juga mendapati Chee cuba menggambarkan dirinya sebagai individu lebih berada, termasuk mendakwa bekerja dalam bidang penerbangan dan merujuk dirinya sebagai orang kenamaan (VIP) di hotel serta premis lain.


Menurut hakim, kenyataan itu bertujuan menarik perhatian Teow dan menampilkan Chee sebagai individu lebih penting daripada kedudukannya sebenar sebagai guru tuisyen dan pekerja kafe.


Chee turut mendakwa dia menandatangani dokumen pengakuan hutang di bawah paksaan, selain mendakwa keluarga Teow mengugutnya. Bagaimanapun, mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi untuk menyokong pembelaan itu.


Mahkamah menerima bahawa Chee menerima S$268,794 (RM857,142.42) menerusi pindahan wang dan tunai, manakala perbelanjaan kad kredit termasuk faedah ditetapkan sebanyak S$87,322.40 (RM278,469.27).


Selepas mengambil kira bayaran balik S$35,000 (RM111,614.25) yang dibuat Chee pada Mac 2024, mahkamah memutuskan dia masih berhutang S$321,116.40 (RM1,024,048.51) kepada Teow.


EmoticonEmoticon