Mahkamah Tinggi Georgetown mengekalkan sabitan ke atas dua lelaki kerana memukul seekor anjing tiga tahun lalu, namun mengurangkan denda yang dikenakan daripada RM50,000 kepada RM30,000 setiap seorang.
Hakim Choong Yeow Choy menolak rayuan dikemukakan Rosli Mat Zin dan Suhaili Haron terhadap sabitan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 selepas mendapati sabitan itu berasaskan keterangan langsung serta bukti video yang diterima oleh mahkamah.
Beliau bagaimanapun membenarkan rayuan dua lelaki itu terhadap hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen, iaitu denda RM50,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayarnya dan menetapkan mereka didenda RM30,000 setiap seorang atau jika gagal, dipenjara enam bulan.
Dalam penghakimannya bertarikh 6 Jun, Choong berkata, mesej yang jelas dan tegas mesti disampaikan kepada orang ramai bahawa Seksyen 29 (1) akta itu perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja berfungsi sebagai hukuman tetapi juga bertujuan pencegahan dan pendidikan yang penting untuk kepentingan awam.
"Mahkamah ini berpendapat hukuman yang sewajarnya dalam kes ini ialah denda. Oleh itu, denda RM30,000 dikenakan ke atas setiap perayu dan jika gagal membayar, enam bulan penjara," katanya.
Seksyen 29 (1) akta itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan penghakiman itu, Rosli, 56, yang bekerja sebagai nelayan dan pemandu bas Suhaili, 52, disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan memukul seekor anjing selepas perbicaraan penuh yang berakhir pada 31 Julai tahun lalu.
Mereka didapati bersalah melakukan perbuatan itu di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang pada 8.30 malam 8 Julai 2023.
Choong menolak hujah perayu bahawa hakim bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang kerana gagal mengambil kira siasatan polis dijalankan bertentangan dengan peruntukan serta prosedur Akta Kebajikan Haiwan.
Perayu berhujah di bawah akta itu, hanya pegawai kebajikan haiwan yang dilantik mempunyai kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah akta tersebut.
Bagaimanapun, Choong memutuskan walaupun akta itu mengandungi peruntukan berkaitan pegawai kebajikan haiwan, peruntukan itu tidak mengecualikan kuasa siasatan am polis yang diperoleh daripada Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Polis 1967.
Beliau berkata, tiada peruntukan dalam Akta Kebajikan Haiwan yang menyekat polis daripada mengendalikan kes yang berlaku di bawah akta tersebut.
Dalam video tular pada Julai 2023 lalu, dua orang lelaki dipercayai memukul seekor anjing di kawasan semak menggunakan kayu.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila anjing terbabit melintas jalan di kawasan kurang pencahayaan dan terlanggar motosikal di jalan raya sehingga dipercayai menyebabkan kakinya patah.
Mungkin mahu menyorok dari dikesan orang ramai, anjing berkenaan masuk ke dalam longkang. Namun, dua orang suspek dikatakan mencari haiwan tersebut dan bertindak memukul anjing itu sehingga mati.

EmoticonEmoticon