Khamis, 11 Jun 2026

Lelaki etnik Rohingya didakwa bunuh rakan senegara, cederakan isteri mangsa


Seorang lelaki etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah kawasan perumahan, bulan lepas.


Tertuduh, Osman Bawdi Alom, 38, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan membunuh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Tertuduh didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, di sebuah rumah di Taman Belibis antara jam 2.50 pagi hingga 2.54 pagi, pada 31 Mei lalu.


Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.


Tertuduh juga didakwa mencederakan Formin Lal Mia, 26, menggunakan sebilah pisau pada waktu dan di lokasi yang sama.


Dari kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.


"Saya tidak mengaku," katanya ketika diminta membuat pengakuan bagi pertuduhan kedua itu.



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh diwakili peguam G. Sathiash.


Airina memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia dan forensik siap.


Katanya, tiada jaminan ditawarkan bagi pertuduhan kedua memandangkan tertuduh turut berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Nurul Ainna kemudian menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Di mahkamah yang sama, Nurul Ainna turut menangguhkan pertuduhan terhadap dua wanita Rohingya, Humaira, 18, dan Minara, 29, ke 23 Jun ini selepas mereka memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak memahami Bahasa Malaysia.


Kedua-dua wanita itu sepatutnya berdepan pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah. Humaira adalah isteri kepada Osman manakala Minara ialah kakak ipar kepada si mati.


Mahkamah menetapkan 23 Jun ini untuk kehadiran jurubahasa mahkamah bagi bahasa Myanmar. Ketiga-tiga individu berkenaan ditahan selepas kejadian tikam yang mengorbankan mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami pelbagai kesan tikaman.


Memetik laporan media pada 31 Mei lalu, mangsa dipercayai telah diserang dan ditikam di beberapa bahagian badan oleh suspek manakala isterinya pula terpaksa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami kecederaan akibat serangan yang sama.


Siasatan awal polis mendapati, perselisihan akibat masalah rumah tangga dikenal pasti sebagai antara motif pembunuhan tersebut.


EmoticonEmoticon