Seorang guru tadika di China digantung tugas dan kini disiasat polis selepas didakwa menggunakan pistol perekat panas (glue gun) pada bibir seorang kanak-kanak perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan melepuh yang serius, lapor South China Morning Post.
Kejadian pagi 27 Mei lalu itu berlaku di sebuah tadika di daerah Fengxian, wilayah Jiangsu, di timur China.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan guru wanita terbabit mengarahkan beberapa kanak-kanak beratur untuk menerima hukuman seorang demi seorang kerana mereka membuat bising ketika sesi pembelajaran.
Guru yang dikenali dengan nama keluarga Chen itu pada mulanya menggunakan glue gun pada tapak tangan seorang murid lelaki sebelum murid itu menarik tangannya akibat kepanasan.
Chen kemudian mengheret kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ke hadapannya lalu bertindak kejam menggunakan alat berkenaan pada bibir mangsa.
Seorang guru lelaki yang berada berhampiran di dalam kelas turut dilihat tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang perbuatan berkenaan.
Pada waktu malam, bibir kanak-kanak perempuan itu mula melepuh sebelum menjadi semakin parah dan bernanah menyebabkan mangsa menangis kesakitan lalu mendorong ibu bapanya membawanya ke hospital dan membuat laporan polis.
Ibu mangsa yang dikenali sebagai Zhou meluahkan rasa hiba apabila menonton rakaman video berkenaan bersama pihak polis, sambil mempersoalkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Zhou turut memaklumkan bahawa bukti rakaman video itu bercanggah dengan penjelasan awal Chen yang mendakwa luka itu berpunca daripada kecuaian anaknya. Guru itu mendakwa kanak-kanak itu tercedera ketika persiapan menggunakan alat kraftangan untuk menghias bilik darjah.
Kes itu masih dalam siasatan polis, manakala pihak berkuasa pendidikan tempatan memaklumkan bahawa beberapa guru dihantar untuk memberikan bimbingan psikologi kepada murid-murid di kelas berkenaan.

EmoticonEmoticon