Isnin, 27 Julai 2026

'Saya tak tahu sebab apa mereka halau' - Ratusan pelarian Rohingya diusir dari Pulau Pinang berkampung depan pejabat UNHCR


Ratusan pelarian Rohingya berkampung di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.


Difahamkan, semua warga asing terbabit tiba di ibu negara awal pagi hari ini menaiki tiga bas selepas mereka diusir keluar oleh penduduk tempatan di penempatan mereka di Pulau Pinang.


Tinjauan di lokasi mendapati mereka mendirikan beberapa khemah di hadapan pejabat UNHCR dan kelihatan anak-anak kecil bermain di sekitar kawasan itu.


Turut kelihatan sekumpulan pegawai dan anggota polis berkawal di sekitar kawasan itu untuk menjaga ketenteraman awam.


Warga Rohingya, Rizuan, 28, berkata, mereka tiba di kawasan itu menaiki bas yang disewa sendiri selepas khuatir keselamatan diri susulan diancam penduduk tempatan sekiranya tidak keluar dari kawasan itu.


"Saya tak tahu sebab apa mereka halau, mereka tak bagi banyak masa untuk keluar, jadi kita semua bawa apa boleh sahaja, barang-barang semua tinggal sana (Pulau Pinang).


"Saya sudah tinggal sana 14 tahun, sebelum ini tak ada masalah. Saya tak tahu apa jadi buat mereka marah. Saya sewa rumah dengan orang Malaysia juga. Mungkin satu dua orang (Rohingya) buat hal kami semua kena," katanya ketika ditemui hari ini.


Katanya setakat ini mereka sekeluarga tidak mempunyai perancangan ke mana hala tuju seterusnya dan sedang menanti bantuan daripada pihak UNHCR.


Menurutnya, setakat ini tiada apa-apa perkembangan daripada pihak UNHCR atau mana-mana agensi berkaitan dan mungkin akan terus berkhemah di kawasan itu sehingga mendapat penempatan lain lebih sesuai untuk isterinya yang sedang mengandung.


Ahmad, 40-an turut mendakwa bahawa dia tidak tahu mengapa penduduk tempatan mengusir mereka selepas bertahun-tahun menetap di kawasan itu.


"Saya pun tidak tahu pasal apa, mereka datang dan suruh kami pindah. Kami pun tidak mahu cari masalah jadi kami semua naik bas malam tadi dan keluar daripada kampung itu," katanya.


Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video memaparkan beberapa bas dikatakan membawa pelarian Rohingya keluar dari kawasan perkampungan dikatakan di Penaga, Pulau Pinang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan kehadiran pegawai dan anggota hanya untuk mengawal keselamatan di lokasi. - Harian Metro.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon