Taktik licik seorang lelaki yang memproses air ketum dalam hutan dengan berselindung di sebalik khemah yang dipasangnya terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Belukar, Pasir Mas petang semalam.
Serbuan jam 3.30 petang menerusi Op Taring Wawasan oleh pasukan khas Batalion 7 itu membawa kepada tangkapan lelaki berusia 38 tahun dan 277 bungkus air ketum selain peralatan yang digunakan untuk memproses bahan terlarang itu.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan dilakukan hasil intipan yang dilakukan pihaknya.
"Menerusi serbuan di kawasan hutan terbabit, suspek memasang khemah dengan di dalamnya terdapat peralatan memproses air ketum termasuk periuk, dapur dan tong gas selain 277 bungkusan air ketum yang sudah siap di proses.
"Susulan itu kita menahan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan nilai rampasan keseluruhan adalah lebih RM10,000.
"Hasil soal siasat, suspek mendakwa mendapatkan bekalan daum ketum terbabit dengan harga RM40 bagi sekilogram.
"Suspek turut mendakwa bekalan air ketum yang siap direbus itu akan dijual kepada individu sekitar kampung berkenaan dengan harga RM10 untuk satu bungkusan plastik," katanya.
Jelasnya, suspek dipercayai mula menjual air ketum terbabit sejak tiga bulan lalu.
"Pemantauan dan pemeriksaan di sektor Pasir Mas akan terus dipergiatkan bagi memastikan bagi memastikan tiada sebarang aktiviti penyalahgunaan ketum," katanya.


EmoticonEmoticon