Proses perpindahan warga Rohingya dari penempatan sementara di Kuala Muda, Penaga berhampiran Pasar Bisik, Kepala Batas, Ahad lalu dilakukan secara sukarela oleh etnik itu sendiri.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, terdapat seramai 121 warga Rohingya keluar dari kawasan berkenaan dan bergerak ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur.
Menurutnya, perpindahan itu berlaku disebabkan persaingan ekonomi dan pertambahan warga Rohingya di kawasan berkenaan.
"Proses perpindahan ini dibantu dan diselaraskan oleh Jabatan Persekutuan (Jabatan Perpaduan), kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN), wakil penduduk tempatan dan wakil warga Rohingya dengan dipantau dan diselaraskan pihak polis dalam menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
"Dalam pada itu, polis menyeru masyarakat supaya tidak mensensasikan isu sehingga menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
"Sebarang pertanyaan berkaitan isu ini boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Deputi Superintendan Fakhruz Zaman Husin di talian 04-5762222," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tinjauan media di perkampungan yang pernah dilanda tsunami itu mendapati beberapa unit rumah sewa didiami etnik terbabit telah kosong sepenuhnya, menjadikan kawasan lengang dan sunyi sepi.
Difahamkan rumah yang disewa komuniti itu dua tahun lalu daripada 32 buah bertambah kepada 47 buah dengan setiap kediaman dihuni antara empat hingga lima keluarga kumpulan etnik berkenaan.
Situasi itu telah mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk tempatan, selain mengatakan kehadiran etnik berkenaan telah mengganggu aktiviti ekonomi penduduk yang kebanyakan terdiri daripada nelayan.
Kesemua warga Rohingya terbabit dibawa keluar dari kampung itu kira-kira jam 10 malam dengan tiga bas.

EmoticonEmoticon