Lelaki warga asing yang mendakwa diperas individu dipercayai polis dikenal pasti berada dalam senarai dikehendaki di China berkait kes penipuan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berdasarkan semakan dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL).
Malah, beliau berkata semakan lanjut juga mendapati lelaki terbabit bukan warganegara Vanuatu seperti didakwa, sebaliknya dipercayai warga China.
"Selain itu, terdapat keraguan pada pasport dikemukakan lelaki terbabit apabila maklumat menyatakan dia dilahirkan di Pontianak, Indonesia.
"Ia berbeza dengan semakan INTERPOL yang mendapati tempat lahirnya adalah di China," katanya melalui kenyataan malam tadi.
Jumaat lalu, 12 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat dilapor ditahan selepas dipercayai memeras ugut seorang lelaki warga Vanuatu sebanyak RM2 juta.
Menurut sumber, lelaki itu hanya dilepaskan selepas membayar AS$140,000 (RM560,000), sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Semua yang ditahan termasuk berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dan Asisten Superintendan (ASP) untuk membantu siasatan.
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman turut membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap 12 pegawai dan anggota polis yang disyaki terbabit kes pemerasan itu.
Menurut Fadil, berdasarkan maklumat terkini diperoleh, pihaknya menahan lelaki terbabit bersama seorang dua wanita membabitkan warga China dan Thailand kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.
"Mereka disiasat mengikut Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan dokumen perjalanan dan imigresen," katanya.
Bagaimanapun, Fadil berkata, rakan pengadu iaitu warga Thailand dibebaskan selepas semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati dokumennya sah.
"Reman selama 14 hari bermula semalam hingga 9 Ogos ini diperoleh terhadap dua individu iaitu pengadu dan teman wanitanya (warga China) bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, Fadil mengesahkan pihaknya menahan 15 pegawai dan anggota polis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan, namun semuanya diberi jamin polis selepas prosedur siasatan awal selesai.


EmoticonEmoticon