Seorang penunggang motosikal maut manakala isteri dan bayi lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan akibat dikejar seekor anjing dalam kemalangan di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap, Simpang Renggam, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Amirul Azim Hamdan, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Benelli TNT300 bersama isterinya yang juga berusia 28 tahun serta bayi lelaki berusia setahun lapan bulan dari arah Tasik Machap menuju ke kawasan perumahan Taman Murni.
Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan selepas dikejar seekor anjing sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian belakang sebuah motolori jenis Scania yang diletakkan di bahu jalan sebelah kanan.
"Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Isteri dan bayi mangsa pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah dikejarkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang dengan ambulans," katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.
Bahrin berkata, kedua-dua mangsa kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan hospital berkenaan.
Menurut beliau, pemandu lori, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun, telah menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


EmoticonEmoticon