Pemuda Barisan Nasional (BN) mengingatkan AMANAH supaya tidak perlu mengeluarkan sebarang amaran berhubung isu agihan kerusi bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor akan datang.
Sebaliknya, Ketua Pemuda BN yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh mengajak parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu supaya berlawan dengan BN di kedua-dua PRN berkenaan.
"Tidak perlu acah-acah nak bagi amaranlah. Ingat kami ini apa nak bagi amaran bagai. Lawan jelah, sembang apa," katanya di Facebooknya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad yang meminta BN bersikap lebih terbuka dengan bersedia berunding dan melepaskan kerusi disandang pada PRN Melaka dan Johor
Sambil menegaskan keputusan pucuk pimpinan AMANAH bergantung kepada pendirian UMNO dan BN, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah itu menyatakan agihan kerusi itu selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh sebelum ini mengesahkan PRN Melaka diadakan pada tahun ini, sementara PRN Johor pula perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2027 mengambil tempoh permulaan sidang DUN negeri itu yang bermula pada April 2022.
Kedudukan semasa kerusi DUN di Melaka menyaksikan 21 daripada 28 DUN dimiliki BN, sementara selebihnya PH dan Perikatan Nasional (PN).
Bagi DUN Johor pula, BN menguasainya di 40 kerusi daripada 56 DUN yang ada pada PRN 2022 lalu.
Sengketa mengenai agihan kerusi DUN khususnya di antara BN dan PH bagi mendepani dua PRN itu dijangka menjadi isu dan cabaran utama bakal dihadapi dua parti gabungan itu, berikutan ketika ini, mereka juga membentuk Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan Melaka ketika ini menerima pakai konsep Kerajaan Perpaduan, selepas melantik beberapa wakil rakyat dari PH sebagai EXCO negeri.
Namun di Johor, kerajaan negeri masih didominasi sepenuhnya BN dan wakil rakyat dari parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan di pusat, diletakkan dalam blok pembangkang dan dikenali sebagai wakil rakyat pengimbang.

EmoticonEmoticon