Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta e-dagang menyumbang sebanyak 23.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024 dengan nilai RM451.3 bilion.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata angka itu antara metrik utama yang digunakan kerajaan bagi mengukur kemajuan Ekonomi Digital Malaysia bagi tempoh 2025 hingga 2030 selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2026–2030.
"Sehingga Jun 2024, jumlah pelaburan digital negara mencatatkan nilai kumulatif RM589.9 bilion dengan sektor itu sudah mewujudkan sebanyak 245,602 peluang pekerjaan.
"Bagi tempoh sama, jumlah pendapatan kumulatif ekonomi digital direkodkan sebanyak RM845.6 bilion," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta penjelasan mengenai sistem metrik yang digunapakai Kementerian Digital bagi mengukur kemajuan Ekonomi Digital Malaysia untuk tahun 2025-2030 dan usaha kementerian memastikan usaha digitalisasi tidak melebarkan ketidaksamaan sosial terutama dari segi akses kemampuan.
Gobind berkata, selain sumbangan kepada KDNK, pelaburan dan pekerjaan, kemajuan ekonomi digital turut diukur berdasarkan prestasi eksport, kadar adaptasi e-dagang, jumlah syarikat Malaysia Digital yang diluluskan serta kedudukan negara dalam penarafan global.
"Justeru, komitmen kerajaan untuk memastikan usaha pendigitalan tidak melebarkan jurang ketidaksamaan sosial dengan menjadikan keterangkuman digital sebagai prinsip teras pelaksanaan dasar.
"Sehubungan itu, Kementerian Digital melaksanakan pelbagai program peningkatan literasi dan kemahiran digital yang bersifat terbuka dan mudah diakses, termasuk untuk golongan berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta komuniti luar bandar," katanya.
Menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman berkaitan pembangunan kecerdasan buatan (AI), Gobind berkata kerajaan mengakui keperluan mendesak untuk melahirkan lebih ramai pakar AI tempatan serta memperkukuh kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan penggubalan Akta Perkongsian Data 2025 antara langkah awal penting bagi menyokong pembangunan ekosistem AI negara termasuk penggunaan data secara beretika dan berkesan.
"Kita memerlukan kepakaran, dana mencukupi dan kerjasama rapat dengan industri bagi memastikan Malaysia dapat merealisasikan aspirasi menjadi negara AI menjelang 2030," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), Gobind menjelaskan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD) dibangunkan bagi mengukur keberkesanan impak digitalisasi dan AI terhadap masyarakat serta pembangunan sosioekonomi negara.
"MyIKD menilai lima aspek utama iaitu kebolehcapaian (accessibility), kemampuan (affordability), keupayaan (ability), kerelevanan (relevance) serta tahap kesiapsiagaan dan adaptasi masyarakat terhadap teknologi digital.
"Indeks ini akan menjadi mekanisme penting untuk menilai sama ada pelaburan dan teknologi baharu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta membantu kerajaan menambah baik dasar secara berterusan," katanya.


EmoticonEmoticon