Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Ahad, 25 Oktober 2026

PM Anwar dedah pelabur global mahu melabur AS$50 bilion di Sarawak, Semenanjung dalam bidang AI

PM Anwar dedah pelabur global mahu melabur AS$50 bilion di Sarawak, Semenanjung dalam bidang AI


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa seorang pelabur global berhasrat melaksanakan pelaburan bernilai AS$50 bilion dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data di Sarawak serta Semenanjung.


Beliau berkata, perkara itu dinyatakan pelabur berkenaan menerusi sidang video bersama-samanya baru-baru ini dengan pelaburan berkenaan disifatkan beliau sebagai antara yang terbesar di rantau ini.


Anwar menyatakan, pelaburan dalam sektor teknologi berkenaan berpotensi membuka peluang pekerjaan baharu yang lebih baik kepada rakyat, khususnya generasi muda termasuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.


"Hari Selasa lalu, seorang daripada pelabur terbesar di dunia, mengadakan sidang video dengan saya. Dia kata dia sudah pilih Sarawak, Kuching dan Semenanjung untuk membangunkan pelaburan di antara pelaburan terbesar di rantau ini, AS$50 bilion.


"Dalam bidang apa? Dalam bidang AI, teknologi baharu, pusat data. Maknanya anak-anak yang di pusat pengajian tinggi sekarang, di sekolah, harus ingat peluang baharu ada, peluang pekerjaan lebih baik," jelas beliau.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di Kompleks Sukan Hang Jebat, Melaka, semalam yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.


Perdana Menteri menyifatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia perlu terus dipelihara menerusi kestabilan politik dan kepimpinan negara, selain memastikan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan.


Anwar menegaskan keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama merupakan antara kekuatan Malaysia yang perlu dimanfaatkan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.


"Kalau orang tidak yakin dengan kerajaan ini, kalau pimpinan itu asyik bergaduh terus, orang tidak akan berminat untuk datang," menurut beliau.


Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia perlu terus memperkukuh penguasaan teknologi baharu khususnya AI, pendigitalan dan semikonduktor bagi memastikan negara mampu mencatat pertumbuhan ekonomi yang mampan.


Katanya, usaha meningkatkan latihan dan kemahiran tenaga kerja juga penting bagi membolehkan Malaysia beralih daripada aktiviti teknologi di sebalik sistem kepada segmen pertengahan dan peringkat berinteraksi dengan pengguna yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.


Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat termasuk peluang pekerjaan lebih baik dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Isnin, 19 Oktober 2026

Tambang ECRL Gombak-Kota Bharu bermula RM125, Ekspres RM147

Tambang ECRL Gombak-Kota Bharu bermula RM125, Ekspres RM147


KUALA LUMPUR - Tambang kelas ekonomi bagi perkhidmatan transit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer bermula RM125 sehala, manakala perkhidmatan ekspres bermula RM147.


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, Jemaah Menteri meluluskan mekanisme tambang dinamik pada 16 Oktober lalu, membolehkan harga tiket berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk.


Bagi laluan Gombak-Kuala Terengganu, tambang bermula RM95 bagi transit dan RM110 bagi ekspres, manakala perjalanan Gombak-KotaSAS masing-masing bermula RM60 dan RM68.


Perkhidmatan transit berhenti di setiap stesen yang dijadualkan, manakala ekspres hanya berhenti di empat stesen utama iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.


MRL turut menawarkan diskaun 50 peratus kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan pesara kerajaan. Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun pula layak mendapat diskaun 40 peratus.


ECRL menyediakan tiga pilihan tempat duduk, iaitu kelas ekonomi, ekonomi premium dan perniagaan. Kadar tambang bagi stesen lain dijangka diumumkan apabila jualan tiket dibuka pada pertengahan November ini.


Darwis berkata, kemajuan keseluruhan projek mencapai 98.16 peratus setakat Oktober 2026, manakala ujian tren telah meliputi jarak terkumpul melebihi 50,000 kilometer.


Ujian Fault-Free Running dijadualkan bermula 23 Oktober ini, diikuti operasi percubaan sepanjang November.


Penjualan tiket rasmi dijangka bermula pertengahan November, manakala operasi komersial penumpang bagi laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula 12 Disember 2026, tertakluk kepada pematuhan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.

Ahad, 28 Jun 2026

PM umum perkhidmatan percuma LRT Laluan Shah Alam selama sebulan

PM umum perkhidmatan percuma LRT Laluan Shah Alam selama sebulan


Tambang perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma selama sebulan kepada semua penumpang bermula esok hingga 31 Julai ini.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, tambang percuma itu turut diberikan bagi perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sepanjang Laluan Shah Alam.


"Bermula 29 Jun iaitu esok hingga 31 Julai tambang perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas perantara sepanjang Laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma selama sebulan.


"Tapi kenapa agaknya laluan ini? Kerana laluan ini yang paling sesak, antara yang paling sesak dalam negara kita. Kemudian bila sesak, maknanya satu bebanan yang besar bagi rakyat." katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia, Klang hari ini.


Terdahulu, Perdana Menteri menaiki tren LRT3 dari Stesen Seri Andalas ke Stesen Johan Setia yang mengambil masa perjalanan kira-kira 15 minit sebelum menyempurnakan majlis pelancarannya.


Turut serta ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.


Selain itu, Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Tan Sri Mohd Nasir Ahmad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Amir Hamdan turut hadir.


Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang membabitkan pelaburan sebanyak RM16.63 bilion itu merupakan antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.


Sebelum ini, Prasarana memaklumkan Laluan Shah Alam turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian membabitkan 13 laluan khusus, dengan tambang hanya RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.


Di samping itu, perkhidmatan Rapid On-Demand turut disediakan membabitkan 44 buah van di 20 zon dengan bayaran RM2, bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.


Kemudahan orang kurang upaya (OKU) juga disediakan di kesemua stesen antaranya laluan landai (ramps) untuk pengguna berkerusi roda, tandas mesra OKU serta tempat duduk khas untuk pengguna OKU di setiap gerabak.

Isnin, 22 Jun 2026

Pemilik pikap, jip dapat kuota tambahan 100 liter BUDI Diesel, jadi 300 liter sebulan

Pemilik pikap, jip dapat kuota tambahan 100 liter BUDI Diesel, jadi 300 liter sebulan


Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baharu bermula 1 Julai ini menyaksikan penambahan kuota sebanyak 100 liter untuk pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.


Tambahan 100 liter sebulan itu akan menjadikan jumlah kelayakan subsidi diesel sehingga 300 liter sebulan bagi kategori terbabit.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kemudahan tambahan itu dijangka mencukupi bagi sebahagian besar pengguna diesel kerana berdasarkan anggaran semasa, kira-kira 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter bahan api sebulan.


Katanya, langkah itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang akan menyeragamkan harga dan kaedah subsidi diesel di seluruh negara mulai 1 Julai ini.


"Pembaharuan ini bertujuan menyelaraskan mekanisme subsidi diesel menerusi sistem yang seragam, telus dan mudah digunakan.


"Berikutan keberkesanan BUDI95 yang terbukti pelaksanaanya ketika ini, kaedah menggunakan MyKad bagi penyasaran subsidi untuk warganegara dilanjutkan kepada subsidi diesel," katanya pada sidang media pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di Putrajaya hari ini.


Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ialah Datuk Armizan Mohd Ali.


Amir Hamzah berkata, di bawah mekanisme baharu itu, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel bagi pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.


"Kelayakan 200 liter itu sama seperti RON95, ia boleh dikongsi antara diesel dan petrol. Maksudnya, sesiapa yang mempunyai kenderaan RON95 dan diesel, mereka boleh mendapat 200 liter di bawah Budi Madani," katanya.


Tambah beliau, bagi pemilik kenderaan diesel yang sebelum ini tidak boleh membeli minyak subsidi, mereka kini boleh menggunakan kuota 200 liter yang sama.


"Kita buka kunci yang ada itu, jadi terpulang kepada mereka untuk memilih sama ada mahu menggunakannya untuk RON95 atau diesel," jelasnya.


Katanya, hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan, justeru had asas berkenaan dijangka mencukupi bagi kebanyakan penerima yang layak.


"Selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan BUDI Diesel pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan kepada pengusaha bot sungai dan pemilik set jana kuasa (genset) di kawasan pedalaman.


"Pada masa sama, kerajaan mengekalkan subsidi diesel bagi sektor strategik dan kritikal, termasuk diesel pada harga RM1.65 seliter untuk nelayan, BUDI Agri-Komoditi bagi petani kecil serta pemegang tanah komoditi berdaftar, dan SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter untuk pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah dan bas ekspres," katanya.


Bermula hari ini, pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan menerusi portal rasmi BUDI MADANI, manakala pemilik pikap dan jip yang layak boleh mengemukakan permohonan tambahan 100 liter sebulan melalui portal sama atau secara fizikal di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan UTC.

Sabtu, 13 Jun 2026

Litar permotoran bernilai RM20 juta bakal dibangunkan di Chuping, Perlis

Litar permotoran bernilai RM20 juta bakal dibangunkan di Chuping, Perlis


Sebuah litar permotoran baharu bernilai RM20 juta bakal dibangunkan di negeri ini menerusi kerjasama antara Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan syarikat permotoran, ESR Motor.


Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, projek itu bakal dibangunkan di kawasan Perindustrian Lembah Industri Chuping (CVIA), Padang Besar, membabitkan keluasan tanah kira-kira 33 hektar.


Katanya, pembangunan litar itu berpotensi bagi memperkukuh pembangunan sektor sukan permotoran di samping merancakkan aktiviti ekonomi negeri.


"Kerja-kerja pecah tanah bagi pelaksanaan projek ini dijangka bermula Ogos ini.


"Pelaksanaan projek ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor permotoran di Perlis selain membuka peluang kepada penganjuran aktiviti dan acara berkaitan pada masa hadapan," katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra, Kangar semalam.


Abu Bakar berkata, pembangunan litar berkenaan bakal dilengkapi pelbagai kemudahan permotoran moden dan mempunyai laluan sepanjang 1.3 kilometer.


Katanya, projek dengan nilai pelaburan RM20 juta itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh kira-kira tiga tahun selepas pembinaan dimulakan.


Kata beliau, pembangunan projek berskala besar itu turut dijangka dapat merangsang sektor pelancongan sukan dan mewujudkan limpahan ekonomi buat komuniti setempat.


Pada masa sama, katanya, pelaksanaan inisiatif itu juga berpotensi memperluas lagi penyertaan golongan muda dalam bidang permotoran melalui saluran yang betul dan selamat.


"Kerjasama antara kerajaan negeri dengan syarikat swasta bagi membangunkan litar ini bakal memberi banyak impak positif dan manfaat khususnya buat anak muda," katanya.

Jumaat, 29 Mei 2026

Malaysia kekal ekonomi Islam terbaik dunia hasil kestabilan negara - Kor Ming

Malaysia kekal ekonomi Islam terbaik dunia hasil kestabilan negara - Kor Ming


Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai negara dengan ekonomi Islam paling kukuh di dunia bagi 2025, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan dan hala tuju pentadbiran Kerajaan MADANI.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian berdasarkan State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2024/2025 itu merupakan hasil kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas serta komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keyakinan rakyat dan pelabur terhadap hala tuju negara.


"Kejayaan Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai ekonomi Islam terbaik dunia membuktikan bahawa pendekatan Malaysia MADANI berjaya meletakkan negara di landasan yang kukuh, progresif dan dihormati dunia. Ini adalah kejayaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.


Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa dasar serta pendekatan Kerajaan MADANI yang berteraskan kestabilan, tatakelola baik, keyakinan pelabur dan pembangunan inklusif terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.


Kor Ming berkata, kedudukan Malaysia di tangga pertama mengatasi beberapa negara Islam utama dunia turut memperlihatkan kekuatan sistem kewangan Islam, industri halal, inovasi serta ekosistem pembangunan negara yang diyakini masyarakat global.


Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan rakyat termasuk penyediaan perumahan berkualiti, pembangunan bandar mampan dan kesejahteraan komuniti demi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh.


"Kerajaan MADANI akan terus bekerja kuat memastikan kemakmuran negara diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi lebih luas serta pembangunan negara yang inklusif dan mampan," katanya.


Kor Ming turut menyeru rakyat untuk terus bersama-sama mempertahankan kestabilan, perpaduan dan keyakinan terhadap agenda pembangunan negara demi memastikan Malaysia terus dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa.

Sabtu, 9 Mei 2026

PM Anwar dijangka umum pelan kesinambungan bekalan minyak negara pertengahan Mei

PM Anwar dijangka umum pelan kesinambungan bekalan minyak negara pertengahan Mei


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan pelan berkaitan kesinambungan bekalan minyak negara pada pertengahan Mei ini susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz.


Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelan itu dijangka memfokuskan kepada usaha memastikan bekalan minyak domestik kekal mencukupi bagi menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi negara selepas kerajaan sebelum ini memberi jaminan bekalan semasa mampu bertahan sehingga Jun.


Menurutnya, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kini pada peringkat akhir memuktamadkan sumber bekalan baharu bagi memastikan kesinambungan bekalan minyak negara dalam tempoh seterusnya.


"Perdana Menteri sebelum ini telah menyatakan bahawa beberapa sumber baharu sedang dimuktamadkan dan beliau dijangka mengemukakan jadual seterusnya berkaitan bekalan minyak negara," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel forum "Energy Crisis 2026: Are We Ready to Rethink Refuel?", sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Universiti Malaya (UMES) di Kuala Lumpur hari ini.


Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata simpanan minyak negara ketika ini masih berada pada tahap operasi, namun Malaysia masih mampu bertahan meskipun berlaku gangguan bekalan hasil langkah intervensi dan pengurusan yang dilaksanakan.


Selain usaha domestik, katanya kerajaan turut melihat kerjasama serantau sebagai antara pendekatan penting untuk memperkukuh daya tahan bekalan tenaga.


"Di peringkat ASEAN saya difahamkan ada perbincangan dalam konteks hala tuju untuk simpanan di peringkat serantau tetapi sudah pasti dari segi kerangka, mekanisme dan sebagainya itu kita perlu perincian yang lanjut kerana ia melibatkan soal diplomasi dan hubungan antara negara-negara anggota," katanya.


Mengenai penggunaan biodiesel B15, beliau berkata kerajaan optimis pelaksanaan peningkatan campuran biodiesel dapat dimulakan pada 1 Jun ini bagi membantu memanjangkan jangka hayat bekalan diesel negara.


Tambahnya, struktur pelaksanaan melibatkan keseluruhan rantaian bekalan biodiesel termasuk pengedaran ke stesen minyak dan mendapat komitmen baik daripada kementerian serta agensi-agensi berkaitan.