Pegawai polis digantung tugas, Inspektor Sheila Sharon Steven Kumar, 37, membuat tiga laporan polis berbeza di ibu negara, semalam.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika diminta mengulas mengenai beberapa kejadian tular membabitkan wanita itu semalam.
Beliau berkata, laporan pertama yang dibuat pegawai itu kerana perasaan tidak puas hati terhadap tangkapan dijalankan ke atasnya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan laporan ini dirujuk kepada laporan asal untuk semakan menurut prosedur siasatan.
Katanya, laporan kedua pula dibuat kerana wanita itu mendakwa anggota polis tidak menghormatinya sebagai pegawai kanan, namun hasil penelitian polis mengklasifikasikannya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
"Laporan ketiga membabitkan perselisihan faham antara wanita itu dengan seorang peniaga makanan yang tular di media sosial semalam namun diklasifikasikan sebagai tiada apa-apa kesalahan (NOD)," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Terdahulu, tular satu video klip berdurasi 43 saat memaparkan pertikaman lidah antara seorang wanita dan seorang peniaga kedai makan.


EmoticonEmoticon