Kegiatan disyaki pelacuran membabitkan lima wanita warga Indonesia di sebuah rumah tumpangan di Banda Hilir, Melaka terbongkar selepas diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira jam 3 petang semalam.
Dalam serbuan itu, seorang daripada wanita berusia 38 tahun mengaku menerima bayaran untuk memberikan khidmat seks kepada seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang sudah berkahwin.
Menurut sumber, pemeriksaan yang dijalankan dengan bantuan anggota polis turut menyaksikan beberapa lelaki dipercayai warga asing melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
"Ketika pemeriksaan di bilik pertama, penguat kuasa menemukan seorang lelaki tempatan bukan Islam berusia 44 tahun bersama seorang wanita Indonesia berusia 38 tahun.
"Siasatan awal mendapati wanita itu mengaku menerima bayaran RM40 bagi khidmat urutan selama 15 minit, manakala tambahan RM20 bagi khidmat seks," katanya.
Menurut sumber itu, pemeriksaan di bilik berkenaan turut menemukan kondom terpakai dan tisu di dalam tong sampah, selain wang tunai RM60 yang dipercayai berkaitan dengan transaksi tersebut.
Pemeriksaan lanjut di empat bilik lain pula menemukan empat lagi wanita warga Indonesia beragama Islam berusia lingkungan 30-an hingga 40-an. Bagaimanapun, tiada pelanggan ditemukan bersama mereka.
"Ketika operasi dijalankan, sekumpulan lelaki dipercayai warga asing muncul di premis berkenaan, namun mereka melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa.
"Beberapa kondom yang belum digunakan turut ditemukan di tangga menuju ke rumah tumpangan itu," katanya.
Sumber itu berkata, pintu belakang premis berkenaan juga didapati dibuka ketika operasi dijalankan, dipercayai bagi mengelakkan kegiatan tersebut dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, JAIM sebelum ini beberapa kali melakukan serbuan di lokasi sama susulan maklumat orang awam, namun usaha berkenaan tidak membuahkan hasil sehingga operasi terbaharu itu dijalankan.
Kesemua lima wanita berkenaan kemudian dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JAIM untuk siasatan lanjut sebelum dijadualkan dituduh di mahkamah hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 berkaitan perbuatan berkurung yang mendatangkan syak atau berkhalwat, serta Seksyen 75 enakmen sama berkaitan perbuatan melacurkan diri.



EmoticonEmoticon