Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian pada jam 3.44 petang kelmarin, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang kereta Perodua Bezza disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan itu membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal ketika aliran trafik bergerak perlahan.
"Siasatan awal mendapati kereta Perodua Bezza dipandu bapa mangsa berusia 30 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta model BYD Seal.
"Rempuhan itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum kenderaan mangsa berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu kereta Nissan Almera, Kenderaan Serba Guna (MPV) Toyota Alphard dan Perodua Myvi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, bapa mangsa mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala. Kedua-dua mereka menerima rawatan di HKL.
"Polis berjaya mengesan pemandu kenderaan BYD Seal yang dilaporkan meninggalkan lokasi kejadian sejurus kemalangan berlaku.
"Pemandu BYD Seal itu adalah lelaki berusia 24 tahun. Dia kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara kerana mengalami kecederaan gegaran otak.
"Suspek kini masih dalam pemantauan pegawai penyiasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan," katanya.
Sementara itu, tiga lagi individu, iaitu pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun serta pemilik Perodua Myvi berusia 30 tahun, dilaporkan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
"JSPT Kuala Lumpur turut menyeru orang ramai serta saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut untuk tampil membantu siasatan," katanya.

EmoticonEmoticon