Selasa, 13 Oktober 2026

Mesej dengan rakan bongkar kes rogol pelajar oleh bapa tiri


Buruh sawit didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, semalam, dengan empat tuduhan merogol anak tirinya berusia 13 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat, sejak Disember tahun lalu.


Tertuduh yang berusia 33 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.


Mengikut kesemua tuduhan, dia didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Batu Pahat antara jam 10 pagi hingga 10 malam, dari Disember tahun lalu hingga September lalu.


Bagi keempat-empat tuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Mengikut laporan, kejadian didakwa berlaku ketika mangsa berada di rumah bersama ibunya, sebelum tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu.


Mangsa yang dikatakan tidak tahan dengan perbuatan itu, menceritakan kepada rakannya, dan ia terbongkar selepas ibu saudara rakan mangsa terbaca mesej perbualan mereka sebelum memberitahu guru mangsa.


Susulan itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, minggu lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Terdahulu, pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan itu serius, selain mangsa dan tertuduh masih tinggal bersama.


Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta pelantikan peguam.


EmoticonEmoticon