Tujuh pegawai agensi penguat kuasa ditahan reman kerana disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini (Khamis sehingga Sabtu) telah dikeluarkan Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek melibatkan empat lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM semalam.
"Kesemua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.
"Op Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket Counter Setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dijalankan baru-baru ini," katanya.
Sumber berkata, susulan tangkapan itu, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas, tiga unit kereta serta dua unit motosikal.
Semalam, SPRM telah menahan 11 individu bagaimanapun empat daripadanya telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.


EmoticonEmoticon