Sabtu, 22 November 2025

Kanak-kanak ditemukan meninggal dunia dalam kereta rosak di Labuan


Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan lapan tahun ditemukan dalam sebuah kereta rosak yang diletakkan di belakang premis, kawasan perindustrian Kampung Muslim, di Labuan pagi tadi.


Kejadian disedari seorang mekanik pada jam 8.45 pagi ketika cuba mengalihkan sebuah Proton Gen-2 yang sudah lama tersadai di belakang sebuah bengkel.


Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mekanik terbabit terhidu bau busuk dari dalam kereta berkenaan.


"Pemeriksaan kemudian dilakukan sebelum menemukan mayat kanak-kanak di bahagian dalam kenderaan itu.


"Siasatan awal mendapati kereta itu adalah kenderaan rosak yang diletakkan di kawasan bengkel sejak Jun lalu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian pada jam 9.10 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.


"Pasukan perubatan yang tiba pada jam 10.26 pagi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.


"Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Budin Jimsalim, lelaki, berbangsa Bajau, dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri


"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.


Mohd Hamizi berkata, setakat ini tiada unsur jenayah ditemui namun siasatan masih diteruskan dan kes mati mengejut (SDR).


"Polis turut merakam keterangan saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi membantu siasatan," katanya.


Polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian. - Foto Polis.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon