Jumaat, 21 November 2025

Polis tahan dua lelaki lakukan perkara tak senonoh dalam kereta


Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam rakaman melakukan perkara tidak senonoh di dalam kereta seperti tersebar beberapa hari lalu.


Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki masing-masing berusia 19 dan 36 tahun itu ditahan pada semalam dan hari ini.


"Polis Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan siasatan terhadap dua laporan polis yang diterima berhubung penularan video di media sosial berkaitan kelakuan tidak senonoh dua individu dalam sebuah kenderaan.


"Hasil siasatan, polis mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Bahau. Tangkapan dibuat ke atas dua lelaki pada semalam dan hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Alzafny berkata, turut dirampas sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dan dua telefon bimbit.


Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan bagi kesalahan kelucahan melampau di tempat awam dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun.


"Polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke atas penularan berita tidak benar dalam media sosial mengaitkan kes ini dengan imam masjid di daerah Seremban.


"Kami sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan peruntukkan undang-undang sedia ada.


"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruangan awam mahupun media sosial," katanya.


EmoticonEmoticon