Mangsa tembak dan tetak berhampiran sebuah restoran di Seremban minggu lalu dipercayai terbabit dalam kes samun di negeri ini serta Lembah Klang.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, maklumat itu diperoleh selepas pihaknya menahan empat lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an pada 21 dan 22 November lalu.
Katanya, empat suspek itu direman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Menurut beliau, lelaki yang maut ditembak itu mempunyai 42 rekod jenayah, kesemua jenayah dilakukannya melibatkan pelbagai kesalahan seperti samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.
Ketika kejadian, mangsa yang berusia 33 tahun itu bersama keluarganya ke sebuah restoran untuk makan malam.
Ketika sedang menuju ke kenderaan, beberapa buah kereta yang dinaiki enam suspek bertutup muka telah menghalang kereta mangsa.
Suspek yang disyaki bersenjata pistol dan parang telah keluar dan menyerang mangsa yang kemudian melarikan diri ke arah jalan raya.
Namun suspek terus mengejar mangsa dan melepaskan tembakan diikuti serangan menggunakan parang sehingga mangsa mengalami kecederaan parah.
Menurut Alzafny, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan pemeriksaan awal terdapat kesan tembakan dan tetakan pada tubuh mangsa.


EmoticonEmoticon