Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ugutan menerusi contengan menggunakan dakwat merah yang diterimanya baru-baru ini adalah yang pertama sejak beliau mengambil alih jawatan itu kira-kira 14 bulan lalu.
Beliau berkata, ugutan terbuka melalui tulisan pada dinding Lapang Sasar Menembak Kontinjen Polis Kelantan di Gunong, Bachok itu diterima pada 22 Disember lalu.
"Ugutan terbuka dengan mesej mengancam pada dinding itu adalah yang pertama saya terima sejak mengambil alih jawatan Ketua Polis Kelantan pada Oktober 2024.
"Sebelum ini, saya hanya dimaklumkan mengenai ugutan oleh pegawai Cawangan Khas," katanya.
Berdasarkan maklumat daripada pegawai Cawangan Khas, beliau berkata memang terdapat ugutan yang ditujukan kepadanya.
"Saya percaya ugutan itu ditujukan kepada saya berikutan pendirian tegas pihak polis dalam melaksanakan operasi terhadap semua bentuk kegiatan jenayah, termasuk dadah, pemberi pinjaman wang haram dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata, polis negeri sudah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menjejaki pihak yang bertanggungjawab mencemarkan dinding perimeter lapang sasar menembak berkenaan.
"Tindakan itu mungkin dilakukan oleh remaja nakal, namun polis percaya terdapat individu tertentu di sebalik kejadian ini.
"Mereka yang bertanggungjawab boleh disifatkan sebagai tidak menghormati undang-undang kerana berani mengugut pegawai penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas membanteras jenayah.
"Kami akan mengesan mereka yang terbabit dengan mengumpul maklumat daripada penduduk setempat.
"Mereka tidak akan terlepas kerana perbuatan sedemikian seolah-olah mencabar pihak berkuasa," katanya.
Mohd Yusoff berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan ugutan itu tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus melaksanakan tanggungjawab membanteras jenayah di negeri ini serta mengekalkan keharmonian awam.
Semalam, Mohd Yusoff mengesahkan beliau menerima ugutan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah yang terjejas akibat tindakan tegas polis negeri terhadap kegiatan jenayah.

EmoticonEmoticon