Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui terdapat kesilapan dalam keputusan yang dibuat oleh pengadil semasa aksi Liga Super antara Negeri Sembilan FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat lalu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah meneliti laporan penilai pengadil serta membuat analisis menyeluruh terhadap insiden-insiden utama yang berlaku dalam perlawanan tersebut.
Menurutnya, hasil penilaian mendapati terdapat keputusan yang kurang tepat dilakukan oleh pengadil perlawanan, S Logeswaran serta pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR), Muhd Usaid Jamal.
"Ia melibatkan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 berkaitan Kesalahan dan Kelakuan Tidak Bersopan.
"Sehubungan itu, FAM telah memutuskan untuk merujuk kedua-dua pengadil terbabit kepada fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu bagi memperbaiki prestasi mereka.
"FAM memandang serius isu prestasi pengadil dan tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan kualiti pengadilan," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Logeswaran menjadi perhatian peminat bola sepak selepas bertindak melanjutkan masa permainan melepasi tujuh minit masa kecederaan yang diumumkan oleh pegawai perlawanan.
Situasi menjadi semakin panas apabila JDT berjaya menjaringkan gol kemenangan 1-0 menerusi Manuel Hidalgo pada waktu yang sudah melepasi tempoh tambahan tersebut.
Ketegangan turut memuncak apabila beberapa keputusan lain dipersoalkan termasuk kegagalan pengadil mengambil tindakan terhadap pemain, Eddy Israfilov yang jelas dilihat menyiku penyerang import NSFC, Joseph Esso pada separuh masa pertama.
Mengulas lanjut, Noor Azman memaklumkan bahawa Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah menghantar surat rasmi kepada semua pegawai perlawanan yang terlibat untuk menghadiri sesi bedah siasat perlawanan.
"Objektif utama sesi ini adalah untuk menilai dan membimbing pegawai perlawanan agar mereka dapat memperbaiki setiap kelemahan yang dikenal pasti.
"Mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi lemah akan dipanggil untuk bimbingan dan pemulihan prestasi bagi memastikan mutu pengadilan Liga Malaysia sentiasa terpelihara," ujarnya.


EmoticonEmoticon