Isnin, 23 Februari 2026

Tinggalkan teman wanita atas gunung hingga mati kesejukan, lelaki didakwa membunuh tanpa niat


Seorang lelaki sedang dibicarakan selepas teman wanitanya mati kesejukan berhampiran puncak Grossglockner, gunung tertinggi Austria semasa pendakian musim sejuk tahun lalu, lapor MS News.


Pendakwa raya mendakwa Thomas Plamberger, 37, turun bersendirian meninggalkan Kerstin Gurtner, 33, kira-kira 50 meter berhampiran puncak gunung itu pada awal pagi 19 Januari 2025 ketika wanita terbabit dalam keadaan tidak berdaya, keletihan, hipotermia dan keliru.


Perkhidmatan penyelamat dimaklumkan berhubung kejadian pada malam itu, namun mereka hanya tiba sejurus selepas 10 pagi esoknya sebelum menemukan Gurtner sudah meninggal dunia.


Plamberger didakwa atas kesalahan membunuh tanpa niat akibat kecuaian melampau dan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan. Difahamkan, dia menafikan sebarang salah laku ketika prosiding bermula di Mahkamah Wilayah Innsbruck, Austria.


Dalam pada itu, pendakwa raya awam Innsbruck berkata, Plamberger harus dianggap sebagai ketua pendakian kerana dia mempunyai pengalaman pendakian gunung tinggi yang jauh lebih luas dan mengatur misi pendakian melalui rabung Studlgrat itu.


Pendakwa raya berkata, kesilapan kritikal termasuk melakukan pendakian musim sejuk yang mencabar walaupun Gurtner tidak pernah melengkapkan pendakian gunung tinggi dengan panjang, kesukaran dan altitud seperti itu.


Pendakwa raya turut berhujah, pasangan itu memulakan pendakian kira-kira dua jam lebih lewat daripada yang disyorkan dan gagal membawa peralatan bivouac (kantung tidur) kecemasan yang mencukupi.


"Pasangan itu sepatutnya berpatah balik apabila keadaan cuaca semakin buruk dengan kelajuan angin mencapai sehingga 74 kilometer sejam (km/j) dan suhu negatif lapan darjah Celsius yang dirasakan menghampiri negatif 20 darjah Celsius akibat faktor penyejukan angin.


"Plamberger juga tidak menjawab panggilan lanjut dan perkhidmatan penyelamat hanya dimaklumkan secara rasmi kira-kira 3.30 pagi," katanya.


Mereka juga mendakwa lelaki itu tidak memindahkan Gurtner ke lokasi lebih terlindung dan tidak menggunakan beg bivouac atau selimut kecemasan aluminium untuk melindungi wanita berkenaan daripada kehilangan haba.


Bagaimanapun, ibu Gurtner mempertahankan Plamberger dan menyifatkan tragedi itu sebagai rangkaian keadaan malang serta tidak mahu menyalahkan sesiapa atas kematian anak perempuannya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon