Isnin, 31 Ogos 2026

Pertandingan antarabangsa membabitkan transgender tular di media sosial bukan di Pulau Pinang


Dakwaan pertandingan antarabangsa yang tular di media sosial membabitkan transgender wanita mewakili Malaysia berlangsung di Pulau Pinang adalah tidak tepat, sebaliknya acara itu diadakan di Bangkok, Thailand.


Perkara itu disahkan Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman yang berkata, berdasarkan semakan terhadap maklumat rasmi penganjur, pertandingan berkenaan berlangsung pada 22 Ogos lalu hingga semalam.


"Berdasarkan semakan terhadap maklumat rasmi penganjur, pertandingan tersebut sebenarnya berlangsung di Bangkok, Thailand pada 22 hingga 30 Ogos lalu, bukannya di Pulau Pinang.


"Penganjur turut menyenaraikan seorang peserta yang membawa nama Malaysia. Namun, membawa nama Malaysia dalam pertandingan tersebut tidak dengan sendirinya bermaksud individu berkenaan merupakan wakil rasmi Kerajaan Malaysia," katanya.


Dari sudut undang-undang Malaysia, katanya, terdapat peruntukan Syariah negeri-negeri yang mengawal perlakuan tertentu berkaitan lelaki yang menyerupai atau berlagak seperti wanita, tertakluk kepada peruntukan dan bidang kuasa negeri masing-masing.


Bagaimanapun, katanya, kita perlu membezakan antara hukum syarak dengan kesalahan jenayah.


"Sesuatu pendakwaan bergantung kepada peruntukan undang-undang, lokasi, bidang kuasa dan pembuktian. Apatah lagi pertandingan yang sedang diperkatakan ini berlangsung di Thailand.


"Oleh itu, masyarakat jangan mengambil undang-undang ke tangan sendiri. Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, serahkan kepada pihak berautoriti untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.


Dalam pada itu, katanya, dari sudut syarak, Islam mempunyai pendirian yang jelas mengenai seseorang yang sengaja menyerupai atau mengubah dirinya kepada jantina yang berlawanan.


Menurutnya, perkara itu berbeza dengan khunsa atau intersex yang membabitkan keadaan biologi tertentu dan memerlukan penilaian pakar bagi menentukan jantina sebenar.


"Justeru, bagi seseorang yang telah jelas jantina biologinya, tindakan sengaja menukar jantina atau membina identiti sebagai jantina yang berlawanan adalah bercanggah dengan syariat.


"Perkara yang lebih membimbangkan bukan sekadar tindakan individu, tetapi apabila budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), mula dipromosi, diraikan dan dinormalisasikan, khususnya kepada generasi muda," katanya.


Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, sikap bertolak ansur tidak seharusnya menyebabkan perkara yang dilarang agama dianggap sebagai sesuatu yang biasa manakala kebebasan pula tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan batas halal dan haram.


Katanya, menghormati seseorang tidak bermakna semua perbuatannya perlu diterima atau diiktiraf, manakala sikap berkasih sayang juga tidak bermaksud perkara yang diharamkan agama boleh dianggap halal.


"Mereka yang mempunyai pengaruh juga perlu lebih bertanggungjawab. Jangan gunakan pentas, media sosial, kedudukan atau populariti untuk menjadikan perkara yang bertentangan dengan agama sebagai sesuatu yang menarik untuk dicontohi," katanya.


Terdahulu, tular di media sosial rakaman seorang peserta dipercayai transgender wanita yang membawa nama Malaysia dalam pertandingan berkenaan sehingga menimbulkan dakwaan acara itu berlangsung di Pulau Pinang.


EmoticonEmoticon