Isnin, 26 Januari 2026

Isu tiga kampung di Kalimantan masuk ke wilayah Malaysia masih dalam rundingan - Mohamad


Isu tiga kampung di Kalimantan Utara, Indonesia, yang dilaporkan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan, masih berada di peringkat rundingan antara kedua-dua negara dan belum dimuktamadkan.


Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, berkata ini berikutan isu sempadan darat perlu mengambil kira realiti keadaan struktur tanah dan bukan berdasarkan garis lurus pada peta semata-mata.


Katanya, garis sempadan yang digariskan secara teknikal dan perundangan lazimnya berbentuk lurus berdasarkan koordinat dan perjanjian lama.


"Rundingan sedang dilakukan pada kawasan-kawasan berkenaan. Ini kerana apa yang ada dipeta dan di tanah itu berbeza.Macam kami berunding dengan Brunei sekarang, kalau ikutkan kita punya garisan adalah lurus, tetapi ramai orang Brunei sudah masuk kawasan kita dan begitu juga sebaliknya, takkan nak suruh mereka jadi rakyat Brunei pula.


"Bila kita ikut undang-undang, dia garis lurus. Kalau kita buat betul, nanti akan ada rumah terbelah dua, dapurnya atau depan rumahnya di Malaysia, manakala belakang rumah atau jambatan di Indonesia.


"Kita tidak mahu itu berlaku," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sendayan, Sendayan, Seremban petang tadi.


Mohamad mengulas mengenai laporan media antarabangsa yang melaporkan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, dikatakan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.


Kelmarin, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.


Mengulas lanjut, Mohamad berkata kerajaan akan mengarahkan jawatankuasa teknikal dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk menjalankan kajian dan penilaian terperinci di lapangan, bagi membantu proses perundingan terbabit.


"Pengakhirannya nanti pemimpin kedua-dua buah negara akan membuat persefahaman dan persetujuan mengenai perkara ini," katanya.


EmoticonEmoticon