Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Julai 2025

Juruterbang 'keliru' cara guna suis enjin punca nahas Air India, meragut 260 nyawa

Juruterbang 'keliru' cara guna suis enjin punca nahas Air India, meragut 260 nyawa


Laporan awal mendapati kekeliruan juruterbang dalam kokpit dipercayai menjadi punca nahas pesawat Air India terhempas yang meragut 260 nyawa termasuk 19 orang di darat.


Pesawat Boeing 787 Dreamliner itu dalam penerbangan ke Ahmedabad, India ke London sebelum terhempas sejurus selepas berlepas pada 12 Jun lalu.


Laporan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara India (AAIB) yang dikeluarkan pada Sabtu mendedahkan bahawa suis pemotong bahan api kedua-dua enjin pesawat beralih secara hampir serentak menyebabkan enjin kehilangan kuasa dan pesawat menjunam.


Laporan oleh AAIB mengenai nahas pada 12 Jun yang berlaku sejurus selepas pesawat berlepas menimbulkan persoalan baru tentang kedudukan suis pemotong bahan api enjin yang kritikal.


Namun, setakat ini tiada bukti menunjukkan pihak pengeluar pesawat, Boeing, mahupun pembuat enjin, General Electric (GE), bertanggungjawab terhadap kesilapan itu.


Nahas yang berlaku itu menjadi cabaran kepada kempen besar Tata Group untuk memulihkan reputasi Air India dan menaik taraf perkhidmatannya selepas mengambil alih syarikat penerbangan itu daripada kerajaan pada 2022.


Hampir sejurus pesawat itu berlepas dari landasan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sumber tenaga sokongan dikenali 'ram air turbine' diaktifkan menandakan berlaku kehilangan kuasa daripada enjin.


Rakaman kotak hitam turut merakam seorang juruterbang bertanya mengapa suis bahan api dipotong, namun rakannya menafikan melakukan tindakan berkenaan.


Laporan itu tidak mengenal pasti siapa yang membuat kenyataan itu sama ada ketua juruterbang atau pembantu juruterbang dan tidak mengenal pasti siapa yang menghantar isyarat kecemasan "Mayday, Mayday, Mayday" sebelum nahas.


Menurut kenyataan kerajaan India, ketua juruterbang pesawat Air India, Sumeet Sabharwal, 56, mempunyai 15,638 jam pengalaman terbang dan turut bertugas sebagai jurulatih Air India manakala pembantu juruterbangnya, Clive Kunder, 32, pula mempunyai 3,403 jam pengalaman.


Suis bahan api beralih hampir serentak dari kedudukan "run" ke "cutoff" hampir sejurus selepas pesawat berlepas.


Laporan awal tidak menyatakan bagaimana suis itu boleh beralih ke kedudukan "cutoff" semasa penerbangan.


Pakar menyatakan bahawa juruterbang tidak mungkin secara tidak sengaja mengalihkan suis bahan api berkenaan.


"Jika suis itu dialihkan oleh juruterbang, kenapa?" soal pakar keselamatan penerbangan Amerika Syarikat (AS), Anthony Brickhouse.


Suis itu beralih dalam selang satu saat, menurut laporan iaitu kira-kira tempoh yang diperlukan untuk menukar satu suis dan kemudian satu suis lagi, menurut pakar penerbangan AS, John Nance.


Beliau menambah bahawa juruterbang kebiasaannya tidak akan mematikan suis itu semasa penerbangan terutama ketika pesawat sedang mendaki.


Mengalihkan suis kepada "cutoff" serta-merta akan mematikan enjin. Ia biasanya digunakan untuk mematikan enjin selepas pesawat tiba di pintu masuk lapangan terbang atau dalam situasi kecemasan tertentu seperti kebakaran enjin.


Laporan itu tidak menunjukkan terdapat sebarang kecemasan yang memerlukan pemotongan enjin.


Di tapak nahas, kedua-dua suis bahan api ditemui dalam kedudukan "run" dan terdapat petunjuk bahawa kedua-dua enjin cuba dihidupkan semula sebelum nahas pada ketinggian rendah, menurut laporan yang dikeluarkan pada jam 1.30 pagi waktu tempatan pada Sabtu.


Air India mengakui laporan itu dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa India tetapi enggan mengulas lanjut. Air India kini berada di bawah pengawasan yang ketat selepas nahas berkenaan.


Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) berkata, ia merancang untuk menyiasat syarikat penerbangan bajetnya, Air India Express selepas Reuters melaporkan bahawa syarikat itu gagal mengikuti arahan untuk menukar bahagian enjin pesawat Airbus A320 dalam masa yang ditetapkan dan memalsukan rekod bagi menunjukkan pematuhan.


Pengawal selia penerbangan India juga memberi amaran kepada Air India kerana melanggar peraturan dengan menerbangkan tiga pesawat Airbus yang lambat menjalani pemeriksaan gelongsor kecemasan dan Jun memberi amaran mengenai "pelanggaran serius" masa tugas juruterbang pada Jun lalu.


Gambar fail; seorang anggota bomba berdiri di sebelah pesawat Air India Boeing 787-8 Dreamliner yang terhempas, di Ahmedabad, India, 13 Jun 2025. - Foto Reuters/Adnan Abidi.

Khamis, 3 Julai 2025

Pelancong AS puji makanan Malaysia lebih sedap dan murah berbanding Singapura

Pelancong AS puji makanan Malaysia lebih sedap dan murah berbanding Singapura


Seorang pelancong dari Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen selepas membuat kenyataan bahawa makanan di Malaysia lebih sedap dan jauh lebih murah berbanding di Singapura.


Brent Farris, dalam hantaran di kumpulan Facebook Malaysia Travel Tips pada 25 Jun lalu mendakwa Malaysia menawarkan kepelbagaian makanan yang sama seperti Singapura, namun dengan harga hanya satu pertiga dan rasanya pula 'lebih sedap'.


"Kalau anda tersinggung, saya minta maaf awal-awal. Tapi sebenarnya, saya tak menyesal pun," tulisnya dalam nada bergurau.


Farris turut menyentuh isu durian, buah yang menjadi ikon di rantau ini, sambil menyindir Singapura dan Thailand.


Menurutnya, Malaysia adalah 'asal usul' durian dan menghasilkan durian terbaik di dunia.


Beliau turut mempersoalkan status durian sebagai simbol kebangsaan Singapura sedangkan negara itu tidak pun menanam buah berkenaan.


"Sekarang saya dah luahkan. Rasa macam beban terangkat. Dah lama saya nak cakap perkara ni," tambahnya.


Ramai netizen setuju, termasuk warga Singapura.


Kenyataan Farris itu mendapat pelbagai reaksi, termasuk sokongan daripada warganet Singapura sendiri.


"Saya tolak untuk melancong ke Singapura. Semua ada di Malaysia pada harga satu pertiga," tulis seorang pengguna Facebook.


Seorang lagi menyifatkan pandangan Farris bukanlah kontroversi, sebaliknya hanyalah 'fakta yang tidak boleh disangkal'.


Seorang pengguna lain pula menyindir bahawa ketika melawat Orchard Road di Singapura, mereka tidak nampak sebatang pokok buah pun, apatah lagi pokok durian.


Ketika berada di Malaysia, beliau dilaporkan memburu pelbagai jenis durian di beberapa lokasi.


Dalam satu hantaran pada 30 Jun, beliau berkongsi pengalamannya menikmati durian isi merah berhampiran puncak Gunung Kinabalu, Sabah.


Beliau juga menyebut pernah makan durian 'terlalu banyak' ketika berada di Mantin, Negeri Sembilan.


Selepas sudah pulang ke AS, Farris menyatakan hasratnya untuk kembali semula ke Malaysia hujung tahun ini.


"Saya akan kembali ke Malaysia musim luruh nanti, kecuali kalau saya timbulkan kontroversi lagi dengan jiran kita di Singapura," selorohnya.


Farris menunjukkan durian ketika beradadi Malaysia. - Foto Sinar Harian.

Khamis, 7 Disember 2023

Dokumen sulit bocor, pegawai AS rupanya pernah berjumpa dengan makhluk asing

Dokumen sulit bocor, pegawai AS rupanya pernah berjumpa dengan makhluk asing


Beberapa dokumen kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang bocor mengesahkan tentang insiden pesawat makhluk asing terhempas di Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 6 Disember 2023.


Menurut dokumen tersebut, beberapa pegawai AS telah bertemu dengan dua makhluk asing di satu lagi lokasi nahas, manakala pertembungan itu dibincangkan dalam satu 'mesyuarat rasmi' 20 tahun kemudian.


Tidak jelas dari mana dokumen itu berasal, namun beberapa halaman laporan tersebut dimuat naik dalam laman perkongsian Reddit.


Muka depan dokumen itu tertera nama, Projek Aquarius dan Projek Sigma, dua nama yang sebelum ini disahkan oleh kerajaan AS.


Dalam salah satu halaman yang tidak disunting, ia menyatakan bahawa satu operasi rahsia dimulakan untuk memulihkan serpihan kapal angkasa milik makhluk asing bagi kajian saintifik pada 1947.


Dalam beberapa muka surat lain, pegawai perisikan Tentera Udara AS dikatakan telah mengesan makhluk asing berada di padang pasir New Mexico pada 25 April 1964.


Insiden itu digelar Lonnie Zamora di mana seorang anggota polis melihat dua 'orang' berada di sebelah objek berkilat yang kemudiannya meluncur ke udara.


"Kejadian itu berlaku lebih kurang tiga jam. Pegawai Tentera Udara itu bertukar maklumat asas dengan dua makhluk asing itu. Projek tersebut diteruskan di pangkalan Tentera Udara di New Mexico," demikian pendedahan dalam Projek Sigma.


Dokumen itu juga mendedahkan projek-projek lain seperti Snowbird yang mengesahkan misi untuk 'menguji penerbangan pesawat makhluk asing yang ditemui'. - Sumber Daily Star.


Satu kejadian nahas pesawat makhluk asing didedahkan dalam dokumen itu. - Foto Getty Images/ iStockphoto.

Isnin, 4 Disember 2023

Api panaskan susu tak pernah padam berterusan menyala sejak 1949

Api panaskan susu tak pernah padam berterusan menyala sejak 1949


Sebuah kedai di bandar Jodhpur, India mendakwa bahawa api yang digunakan untuk memanaskan susu di premis itu telah menyala sejak 1949, lapor stesen penyiaran NDTV pada 2 Disember 2023.


Pemilik kedai, Vipul Nikub dengan bangga mengatakan bahawa nyalaan api yang digunakan untuk memanaskan susu tidak pernah padam sejak datuknya memulakan perniagaan tersebut.


"Datuk saya memulakan kedai susu ini pada 1949. Api berterusan menyala sejak 1949. Kedai ini beroperasi 22 hingga 24 jam setiap hari.


"Susu dipanaskan secara tradisional menggunakan arang dan kayu. Sudah hampir 75 tahun kedai ini beroperasi secara konsisten dan ia diuruskan secara turun-temurun.


"Saya generasi ketiga. Kedai susu terkenal, orang suka dan susu membekalkan nutrisi dan tenaga kepada pelanggan jadi kami berjaya menjalankan perniagaan," katanya.


Kedai-kedai susu di seluruh India menjadi kiosk makanan yang klasik. Ia biasanya terletak di tepi jalan yang sibuk dan menawarkan pelbagai jenis produk berasaskan susu yang memenuhi citarasa tempatan.


Selain minuman, kedai susu akan menawarkan pelbagai jenis gula-gula, dadih dan hidangan tenusu lain. Dalam setiap teguk dan suapan, makanan yang kaya dengan perisa itu mentakrifkan kecintaan masyarakat India terhadap produk berasaskan susu. - Sumber NDTV.


Nikub menunjukkan susu yang dipanaskan di atas api yang menyala sejak 1949. - Foto NDTV.

Selasa, 24 Oktober 2023

Kajian baharu sahkan Bulan berusia 4.46 bilion tahun jauh lebih tua dari anggaran sebelum ini

Kajian baharu sahkan Bulan berusia 4.46 bilion tahun jauh lebih tua dari anggaran sebelum ini


Satu analisis baharu ke atas debu Bulan yang dikumpul oleh angkasawan misi Apollo 17 mendedahkan bahawa Bulan sebenarnya berusia 40 juta tahun lebih tua berbanding apa yang dipercayai selama ini, lapor saluran berita CNN 23 Oktober 2023.


Selepas mendarat di Bulan pada 11 Disember 1972, angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Eugene Cernan dan Harrison Schmitt mengutip sampel batuan dan debu dari permukaan Bulan.


Analisis baharu ke atas sampel itu berjaya mengesan kehadiran kristal zircon. Ia kemudian dicatatkan berusia 4.46 bilion tahun. Anggaran sebelum ini menyebut Bulan berusia 4.425 bilion tahun.


Penemuan tersebut diterbitkan kelmarin dalam jurnal Geochemical Perspectives Letters.


"Kristal ini adalah pepejal tertua yang diketahui yang terbentuk selepas hentaman gergasi. Dan kerana kita tahu berapa umur kristal ini, ia berfungsi sebagai sauh untuk kronologi bulan," kata pengarang kajian kanan Philipp Heck, Robert A. Pritzker Kurator untuk Kajian Meteorit dan Kutub di Chicago.


Ketika awal sistem suria kita, Bumi masih membentuk dan membesar dalam saiz huru-hara, dengan objek berbatu sering berlanggar di angkasa. Pada masa itu lebih daripada 4 bilion tahun yang lalu, objek bersaiz Marikh terhempas ke Bumi, melemparkan sekeping batu besar yang menjadi bulan, menurut penyelidik.


Tenaga daripada kesan objek bersaiz Marikh yang mengenai Bumi mencairkan batu yang akhirnya akan membentuk permukaan bulan. Tetapi saintis masih berusaha untuk menentukan tarikh peristiwa penting ini dengan tepat.


"Apabila permukaannya cair seperti itu, kristal zircon tidak dapat terbentuk dan bertahan. Jadi mana-mana kristal di permukaan Bulan pasti terbentuk selepas lautan magma bulan ini disejukkan," kata Heck, yang juga pengarah kanan Pusat Penyelidikan Integratif Negaunee muzium dan seorang profesor di jabatan sains geofizik di Universiti Chicago.


Penyelidikan sebelumnya oleh pengarang bersama kajian Bidong Zhang, penolong penyelidik di jabatan Bumi, planet, dan sains angkasa di Universiti California, Los Angeles, telah mencadangkan bahawa penentuan umur kristal dalam debu bulan mungkin mendedahkan usia sebenar bulan. - Sumber CNN.


Schmitt mengutip sampel debuan Bulan semasa misi Apollo 17 pada 1972. - Foto NASA.

Rabu, 4 Oktober 2023

Bulu dinosaur berusia 125 juta tahun serupa dengan bulu burung moden

Bulu dinosaur berusia 125 juta tahun serupa dengan bulu burung moden


Ahli paleontologi di University College Cork (UCC), Ireland telah menemui bukti sinar-X protein dalam bulu fosil yang memberi penerangan baharu tentang evolusi bulu.


Bulu dari burung zaman moden mempunyai lebih banyak persamaan dengan bulu dinosaur. Kajian terdahulu mencadangkan bahawa bulu purba mempunyai komposisi yang berbeza dengan bulu burung pada hari ini.


Penyelidikan baharu itu mendedahkan bahawa komposisi protein bulu zaman moden juga terdapat pada bulu dinosaur dan burung awal. Ini mengesahkan bahawa kimia bulu berasal lebih awal daripada yang difikirkan sebelumnya.


Menurut ketua penyelidik, Dr. Tiffany Slater, pasukannya menganalisis bulu berusia 125 juta tahun daripada dinosaur Sinornithosaurus dan burung awal, Confuciusornis dari China, serta bulu berusia 50 juta tahun dari Amerika Syarikat.


"Sangat menarik untuk menemui persamaan baharu antara dinosaur dan burung. Untuk melakukan ini, kami membangunkan kaedah baharu bagi mengesan kesan protein bulu purba.


"Kami juga menggunakan sinar-X dan cahaya inframerah. Kami dapati bahawa bulu daripada dinosaur Sinornithosaurus mengandungi banyak beta-protein sama seperti bulu burung pada hari ini," katanya.


Tambahnya, bagi membantu mentafsir isyarat kimia yang dipelihara dalam bulu fosil, pasukan itu menjalankan eksperimen untuk membantu memahami cara protein bulu terurai semasa proses fosil.


"Bulu burung moden kaya dengan beta-protein yang membantu menguatkan bulu untuk terbang," ujarnya lagi.


Kajian itu diterbitkan pada 21 September 2023 dalam jurnal Nature Ecology and Evolution. - Sumber Live Science.


Fosil bulu dinosaur yang digunakan untuk mendapatkan penerangan baharu tentang evolusi bulu. - Foto kundrát et al (Gondwana Research).

Bulu fosil berusia 50 juta tahun yang ditemukan di Green River Formation in Wyoming, Amerika Syarikat. - Foto Tiffany Slater.

Gambar ilustrasi dinosaur Sinornithosaurus. Fosilnya ditemui pada tahun 1999 di China. - Foto planet dinosaur wiki.

Selasa, 26 September 2023

Rumpai laut coklat ditemui di Australia Selatan mampu lambatkan kesan penuaan

Rumpai laut coklat ditemui di Australia Selatan mampu lambatkan kesan penuaan


Rumpai laut yang hanya ditemui di Australia Selatan dipercayai menyimpan rahsia antipenuaan, menurut kajian baharu yang diterbitkan saintis di Universiti Flinders SA semalam, 25 September 2023.


Kajian itu mendapati, rumpai laut coklat Australia Selatan mempunyai ciri antipenuaan yang kaya dan boleh melindungi daripada kemerosotan kedua-dua kolagen serta elastin pada manusia.


Pengarang bersama kajian dari Kolej Perubatan dan Kesihatan Awam di Flinders University, Wei Zhang, berkata pihaknya mendapati ekstrak daripada rumpai laut coklat Australia Selatan mempunyai potensi besar digunakan untuk membantu melambatkan kesan penuaan pada kulit.


"Kolagen bertindak sebagai blok binaan untuk tulang, gigi, otot, kulit, sendi dan tisu penghubung, manakala elastin memberikan kulit keanjalan dan kekuatannya.


"Kedua-dua protein ini adalah popular dan dipromosikan oleh industri kecantikan sebagai penting untuk penampilan kulit yang sihat.


"Penyelidik menilai sifat antipenuaan ekstrak daripada tiga spesies rumpai laut coklat dan mendapati bahawa ia merangsang pertumbuhan kolagen serta menghalang proses glikasi, yang menyebabkan degenerasi kolagen dan elastin," katanya.


Menurut kajian itu, Australia Selatan mempunyai kepelbagaian rumpai laut tertinggi di dunia dengan sehingga 1,500 spesies yang diketahui, lebih separuh daripadanya adalah endemik di kawasan terbabit.


Institut Rumpai Laut Australia (ASI) meramalkan industri penanaman rumpai laut domestik boleh bernilai 1.5 bilion dolar Australia (AS$963.9 juta) setiap tahun menjelang 2040 dan menggaji 9,000 orang.


Australia Selatan mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri rumpai laut bertaraf dunia, dibina di atas kepelbagaian biologi rumpai laut yang terkaya dan kapasiti inovasi bioproduk marin. 


"Rumput laut adalah sumber hebat pelbagai bahan bioaktif dengan potensi aplikasi dalam kesihatan semula jadi dan produk penjagaan kulit.


"Penemuan kami akan membantu mengisi jurang pengetahuan dan membangunkan kemajuan rumpai laut coklat secara mampan dalam produk penjagaan kulit topikal dan tambahan," kata Zhang semalam. - Sumber PHYS.org.


Rumpai laut Australia Selatan dipercayai menyimpan rahsia antipenuaan. - Foto Unsplash/CC0 Public Domain.