Laporan awal mendapati kekeliruan juruterbang dalam kokpit dipercayai menjadi punca nahas pesawat Air India terhempas yang meragut 260 nyawa termasuk 19 orang di darat.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner itu dalam penerbangan ke Ahmedabad, India ke London sebelum terhempas sejurus selepas berlepas pada 12 Jun lalu.
Laporan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara India (AAIB) yang dikeluarkan pada Sabtu mendedahkan bahawa suis pemotong bahan api kedua-dua enjin pesawat beralih secara hampir serentak menyebabkan enjin kehilangan kuasa dan pesawat menjunam.
Laporan oleh AAIB mengenai nahas pada 12 Jun yang berlaku sejurus selepas pesawat berlepas menimbulkan persoalan baru tentang kedudukan suis pemotong bahan api enjin yang kritikal.
Namun, setakat ini tiada bukti menunjukkan pihak pengeluar pesawat, Boeing, mahupun pembuat enjin, General Electric (GE), bertanggungjawab terhadap kesilapan itu.
Nahas yang berlaku itu menjadi cabaran kepada kempen besar Tata Group untuk memulihkan reputasi Air India dan menaik taraf perkhidmatannya selepas mengambil alih syarikat penerbangan itu daripada kerajaan pada 2022.
Hampir sejurus pesawat itu berlepas dari landasan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sumber tenaga sokongan dikenali 'ram air turbine' diaktifkan menandakan berlaku kehilangan kuasa daripada enjin.
Rakaman kotak hitam turut merakam seorang juruterbang bertanya mengapa suis bahan api dipotong, namun rakannya menafikan melakukan tindakan berkenaan.
Laporan itu tidak mengenal pasti siapa yang membuat kenyataan itu sama ada ketua juruterbang atau pembantu juruterbang dan tidak mengenal pasti siapa yang menghantar isyarat kecemasan "Mayday, Mayday, Mayday" sebelum nahas.
Menurut kenyataan kerajaan India, ketua juruterbang pesawat Air India, Sumeet Sabharwal, 56, mempunyai 15,638 jam pengalaman terbang dan turut bertugas sebagai jurulatih Air India manakala pembantu juruterbangnya, Clive Kunder, 32, pula mempunyai 3,403 jam pengalaman.
Suis bahan api beralih hampir serentak dari kedudukan "run" ke "cutoff" hampir sejurus selepas pesawat berlepas.
Laporan awal tidak menyatakan bagaimana suis itu boleh beralih ke kedudukan "cutoff" semasa penerbangan.
Pakar menyatakan bahawa juruterbang tidak mungkin secara tidak sengaja mengalihkan suis bahan api berkenaan.
"Jika suis itu dialihkan oleh juruterbang, kenapa?" soal pakar keselamatan penerbangan Amerika Syarikat (AS), Anthony Brickhouse.
Suis itu beralih dalam selang satu saat, menurut laporan iaitu kira-kira tempoh yang diperlukan untuk menukar satu suis dan kemudian satu suis lagi, menurut pakar penerbangan AS, John Nance.
Beliau menambah bahawa juruterbang kebiasaannya tidak akan mematikan suis itu semasa penerbangan terutama ketika pesawat sedang mendaki.
Mengalihkan suis kepada "cutoff" serta-merta akan mematikan enjin. Ia biasanya digunakan untuk mematikan enjin selepas pesawat tiba di pintu masuk lapangan terbang atau dalam situasi kecemasan tertentu seperti kebakaran enjin.
Laporan itu tidak menunjukkan terdapat sebarang kecemasan yang memerlukan pemotongan enjin.
Di tapak nahas, kedua-dua suis bahan api ditemui dalam kedudukan "run" dan terdapat petunjuk bahawa kedua-dua enjin cuba dihidupkan semula sebelum nahas pada ketinggian rendah, menurut laporan yang dikeluarkan pada jam 1.30 pagi waktu tempatan pada Sabtu.
Air India mengakui laporan itu dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa India tetapi enggan mengulas lanjut. Air India kini berada di bawah pengawasan yang ketat selepas nahas berkenaan.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) berkata, ia merancang untuk menyiasat syarikat penerbangan bajetnya, Air India Express selepas Reuters melaporkan bahawa syarikat itu gagal mengikuti arahan untuk menukar bahagian enjin pesawat Airbus A320 dalam masa yang ditetapkan dan memalsukan rekod bagi menunjukkan pematuhan.
Pengawal selia penerbangan India juga memberi amaran kepada Air India kerana melanggar peraturan dengan menerbangkan tiga pesawat Airbus yang lambat menjalani pemeriksaan gelongsor kecemasan dan Jun memberi amaran mengenai "pelanggaran serius" masa tugas juruterbang pada Jun lalu.
EmoticonEmoticon