Sabtu, 12 Julai 2025

Pemuda dakwa hilang penglihatan selepas cabut gigi, klinik bagi 'ganti rugi' RM262


Seorang pemuda dari Koto Tabang, Ampalu, VII Koto Sungai Sariak, Padang Pariaman di Indonesia terpaksa menerima kenyataan apabila penglihatannya hilang sepenuhnya selepas menjalani prosedur mencabut gigi di sebuah klinik.


Insiden yang menimpa Hengki Saputra, 30, bermula apabila dia mengalami masalah pada sebatang gigi yang tumbuh secara tidak normal hingga menyentuh lelangit mulutnya menyebabkan lidahnya kerap tergigit dan mengalami ulser mulut yang tidak sembuh-sembuh.


Keadaan itu mengganggu kehidupan hariannya sehingga pada akhir tahun 2022, Hengki akhirnya mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik pergigian di Kota Pariaman dengan ditemani ibunya, Nurhasni.


Menurut Nurhasni, prosedur mencabut gigi itu berlangsung dengan penuh kesukaran kerana pendarahan yang banyak sehingga doktor terpaksa rehat sebanyak dua kali sepanjang proses dijalankan.


Walaupun pada awalnya Hengki masih dapat menjalani aktiviti seperti biasa, beberapa gejala luar biasa mula muncul tidak lama kemudian.


Dia sering mengalami sakit kepala, suhu badan meningkat dan selera makan menurun secara mendadak.


Lebih membimbangkan, penglihatannya semakin kabur dan dalam tempoh seminggu selepas prosedur, dia kehilangan penglihatan sepenuhnya.


Ibunya yakin anaknya menjadi mangsa kecuaian perubatan dan berulang kali mendatangi klinik tersebut bagi menuntut keadilan.


Bagaimanapun, pihak klinik menolak dakwaan tersebut dan hanya memberikan sumbangan sebanyak 1 juta rupiah (kira-kira RM262), sesuatu yang menurut keluarganya menambahkan lagi kecurigaan terhadap kecuaian pihak klinik.


Namun, siasatan rasmi mengenai insiden ini telah dihentikan oleh pihak berkuasa.


Menurut Ketua Unit II Siasatan Jenayah Polis Pariaman, Inspektor Dua (Ipda) Optah Jhonedi, hasil penyiasatan menunjukkan bahawa insiden yang menimpa Hengki bukan berpunca daripada prosedur cabut gigi yang dijalankan.


Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa Hengki telah disahkan menghidap ketumbuhan di kepala berdasarkan keputusan pemeriksaan radiologi yang dijalankan di Hospital Awal Bros Sudirman, Pekanbaru pada tahun 2022.


"Hasil siasatan mendapati mangsa pernah menjalani pemeriksaan perubatan dan disahkan mempunyai ketumbuhan di kepala yang menjadi punca kebutaannya," jelas Ipda Optah dalam kenyataan pada Khamis, 10 Julai 2025 yang dipetik daripada TribunPadang.


Penemuan itu turut disahkan melalui pemeriksaan lanjutan di Hospital Umum Daerah (RSUD) M Djamil pada Disember 2024.


Dalam siasatan lanjut, seorang pakar radiologi turut dipanggil bagi memberi pandangan profesional terhadap kes ini.


"Pakar tersebut mengesahkan bahawa ketumbuhan pada otak mangsa memberi kesan kepada saraf penglihatan, sekali gus menyebabkan berlaku kebutaan," tambah beliau.


Berdasarkan bukti-bukti tersebut, polis memutuskan untuk menutup siasatan berkaitan dakwaan kecuaian perubatan dalam kes berkenaan.


Bagaimanapun, Ipda Optah menegaskan bahawa siasatan boleh dibuka semula sekiranya terdapat bukti baharu atau fakta yang menyokong wujudnya unsur kecuaian pihak klinik. - Sumber Tribun News.


Hengki kini perlu bantuan ibunya untuk meneruskan hidup. - Foto Tribun Padang/Panji Rahmat.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon