Seorang lelaki etnik Rohingya direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan jalan raya yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di Kilometer 12.5, Jalan Kuala Terengganu–Kuantan, berhampiran Rusila, Marang, pada 27 Mei lalu.
Perintah reman terhadap suspek dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood bermula hari ini hingga Jumaat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Ketua Polis Daerah Marang, Supt Mohd Sofian Redzuan ketika dihubungi berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, suspek berusia 20 tahun yang memandu Proton Saga dipercayai merempuh motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa berusia 27 tahun.
Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia semalam.
"Kes pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, namun diklasifikasikan semula susulan kematian mangsa," katanya.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000, serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

EmoticonEmoticon