Walaupun menyedari tindakannya menyalahi undang-undang, seorang pelarian Rohingya tetap berdegil menunggang motosikal yang dipinjamkan majikannya untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Lelaki berusia 31 tahun juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu akhirnya ditahan dalam Ops Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha 2026 di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu pada Ahad.
Menurut pekerja buruh binaan itu, dia mula menunggang motosikal tersebut kira-kira dua minggu lalu untuk berulang-alik dari tempat tinggalnya di Panji ke lokasi kerja di bandar.
"Tauke beri pinjam motosikal untuk saya pergi kerja. Baru dua minggu saya guna motosikal ini untuk ulang-alik dari rumah ke tempat kerja," katanya ketika ditemui selepas ditahan dalam operasi berkenaan.
Lelaki itu berkata, dia yang berasal dari Myanmar itu mengaku memasuki negara ini menggunakan kapal melalui Thailand kira-kira 14 tahun lalu.
Menurutnya, tempoh yang lama menetap di Malaysia menyebabkan dia fasih berbahasa Melayu selain memahami dialek Kelantan.
"Saya sudah lama tinggal di sini. Sebab itu saya boleh bercakap Melayu dan faham loghat Kelantan," katanya yang mempunyai seorang anak manakala isterinya juga warga Myanmar.
Hasil pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati lelaki terbabit melakukan tiga kesalahan dan disaman kerana menunggang tanpa lesen memandu, menggunakan motosikal dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
Pada masa sama, pemilik motosikal berkenaan turut dikenakan tindakan saman kerana membenarkan individu tanpa lesen memandu menggunakan kenderaan selain kesalahan LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Sementara itu, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya mengesan masih terdapat pemilik kenderaan yang membenarkan pekerja atau individu lain menggunakan motosikal tanpa memastikan mereka mempunyai lesen memandu yang sah.
Menurutnya, tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengundang risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya lain.
"Pemilik kenderaan mempunyai tanggungjawab memastikan individu yang menggunakan kenderaan mereka memiliki lesen memandu yang sah selain memastikan LKM dan perlindungan insurans masih berkuat kuasa.
"Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, operasi khas sempena Aidiladha itu turut memberi tumpuan kepada kesalahan utama yang sering menyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 400 motosikal diperiksa dengan 230 daripadanya diambil tindakan, manakala 256 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Ops bersepadu terbabit melibatkan 90 anggota termasuk JPJ, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Polis Diraja Malaysia serta Agensi Antidadah Kebangsaan.

EmoticonEmoticon