Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan

Rabu, 12 April 2023

Gerhana matahari separa muncul semula pada 20 April ini

Gerhana matahari separa muncul semula pada 20 April ini


Selepas kali terakhir berlaku tiga tahun lalu, gerhana matahari separa akan muncul semula pada 20 April ini, dan kejadian itu terjadi sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


Seluruh negara akan mengalami gerhana matahari separa berikutan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku berdekatan benua Australia.


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Facebook berkata, pemerhati di Semenanjung akan menyaksikan fenomena tersebut bermula jam 11 pagi.


"Pemerhati di Semenanjung boleh menyaksikan fenomena gerhana matahari separa bermula 11 pagi hingga sekitar 1 petang.


"Bagi pemerhati di Sarawak pula, sehingga sekitar pukul 1 petang manakala di Sabah sehingga sekitar pukul 2 petang," menurut kenyataan tersebut.


Kali terakhir kejadian itu dapat disaksikan di Malaysia ialah pada 21 Jun 2020 lalu ketika umat Islam di negara ini masih lagi meraikan lebaran pada 29 Syawal 1441 Hijrah.


Menurut pakar falak tanah air, Hanafiah Abdul Razak, berkata gerhana matahari separa atau penuh merupakan fenomena berulang-ulang yang dapat dikira menerusi kaedah ulangan kiraan hilal atau anak bulan takwim Hijrah.


Selepas kali terakhir berlaku di Malaysia tiga tahun lalu, gerhana matahari separa akan muncul semula pada 20 April 2023 ini. - Foto Ihsan falak online.

Jumaat, 31 Mac 2023

Saintis temui lohong hitam 33 bilion kali lebih besar daripada Matahari

Saintis temui lohong hitam 33 bilion kali lebih besar daripada Matahari


Sekumpulan ahli astronomi di Britain menemui sebuah lohong hitam bersaiz amat besar iaitu kira-kira 33 bilion kali jisim Matahari, lapor akhbar Metro UK pada 29 Mac 2023.


Kumpulan saintis daripada Universiti Durham itu berkata, lohong hitam gergasi tersebut adalah antara yang paling besar pernah ditemui.


"Lohong hitam yang saiznya kira-kira 30 bilion kali jisim Matahari ini adalah satu daripada lohong hitam terbesar yang pernah dikesan.


"Berdasarkan had maksimum mengenai seberapa besar saiz lohong hitam secara teori, penemuan ini adalah sesuatu yang amat menarik," kata pengarang utama kajian tersebut, Dr. James Nightingale.


Dalam kajian tersebut, saintis menggunakan fenomena dikenali sebagai kanta graviti, di mana mereka mendapatkan bantuan daripada galaksi berdekatan dengan menukarnya menjadi kanta pembesar gergasi.


Ia seterusnya mendedahkan kehadiran lohong hitam gergasi itu. Lohong hitam merujuk kepada zon di mana tarikan gravitinya amat kuat sehinggakan tiada cahaya yang dapat terlepas. - Sumber Metro UK.


Lohong hitam yang paling besar pernah ditemui. - Foto PA / Mirror UK.

Selasa, 28 Mac 2023

Saintis berjaya merungkai misteri aneh komet kecil menyerupai kapal angkasa alien

Saintis berjaya merungkai misteri aneh komet kecil menyerupai kapal angkasa alien


Pasukan saintis Amerika Syarikat (AS) berjaya merungkai misteri aneh di sebalik komet kecil menyerupai kapal angkasa alien yang ditemukan oleh ahli astronomi Maui enam tahun lalu.


Menurut lapor Mirror UK pada 25 Mac 2023, Komet diberi nama Oumuamua merupakan pelawat pertama yang diketahui dari luar sistem suria Bumi.


Tetapi tidak seperti asteroid atau komet lain, Oumuamua tidak mempunyai awan debu yang terang di belakangnya, memiliki bentuk yang sangat luar biasa menyerupai batang curut selain saiznya yang sangat kecil.


Oumuamua pertama kali ditemukan pada Oktober 2017 selepas dilihat bergerak menjauhi Matahari, menyebabkan saintis hairan hingga ada yang menyangkanya sebagai kapal angkasa makhluk asing.


Pensyarah Universiti Cornell, Darryl Seligman berkata, saintis tidak pernah melihat komet dalam sistem suria yang tidak mempunyai gas debu jadi pecutan bukan gravitinya benar-benar aneh.


"Dalam keadaan biasa, komet atau asteroid akan memancarkan ekor terang yang disebabkan oleh pemanasan air dan molekul lain apabila ia semakin dekat dengan Matahari.


"Gas yang dipaksa keluar dari komet juga mendorongnya ke hadapan, itulah sebabnya mereka kelihatan bergerak mengelilingi sistem suria.


"Tetapi Oumuamua terlalu kecil dan terlalu jauh dari Matahari untuk menangkap tenaga yang cukup untuk mengeluarkan gas," jelasnya.


Penolong Profesor Kimia Universiti California Berkeley, Jennifer Bergner berkata, sebuah komet yang bergerak melalui medium antara bintang pada dasarnya sedang 'dimasak' oleh sinaran kosmik, membentuk hidrogen sebagai hasilnya.


"Untuk komet yang melintasi beberapa kilometer, gas keluar adalah daripada cangkerang yang sangat nipis berbanding sebahagian besar objek, jadi kedua-dua komposisi dan dari segi apa-apa pecutan, kita tidak semestinya menjangkakan debu itu sebagai kesan yang boleh dilihat.


"Tetapi kerana Oumuamua sangat kecil, kami fikir ia sebenarnya menghasilkan daya yang mencukupi untuk menggerakkan pecutan ini," ujarnya. - Sumber Mirror UK.


BACA: Objek disangka komet rupanya teknologi makhluk asing pernah datang Bumi pada 2017.


Komet Oumuamua pertama kali ditemui pada Oktober 2017 oleh ahli astronomi di Maui. - Foto Mirror UK / nagualdesign.

Jumaat, 24 Mac 2023

Ramai teruja lihat planet Zuhrah dekat bulan boleh dilihat jelas

Ramai teruja lihat planet Zuhrah dekat bulan boleh dilihat jelas


Fenomena gelinciran planet Zuhrah dengan bulan di angkasa dapat disaksikan oleh orang ramai ketika ini.


Menerusi hantaran Persatuan Astronomi Pulau Pinang di Facebook, bulan dan Zuhrah akan menjadi sangat dekat antara satu sama lain selepas matahari terbenam.


Jelasnya, kebanyakan kawasan di Malaysia dapat melihat planet Zuhrah dengan sangat dekat dan terang bersamaan magnitud -4.0.



"Dalam astronomi, ia berlaku apabila dua objek astronomi kelihatan berdekatan antara satu sama lain di langit.


"Secara teknikal, kedua-dua objek akan mempunyai kenaikan kanan yang sama atau longitud ekliptik yang sama, seperti yang diperhatikan dari Bumi.


"Dari beberapa bahagian Malaysia seperti Utara, Zuhrah akan kelihatan pergi di belakang anggota gelap bulan sabit, dan kemudian muncul dari sisi yang terang," katanya.


Rektor Akademi Astronomi Malaysia, Akademi Falak Malaysia Shahrin Ahmad berkata, fenomena kegelinciran ini amat menarik untuk dicerap kerana ia dapat menunjukkan momen-momen cahaya daripada Zuhrah akan hilang, muncul dan pudar sedikit daripada kesan ia bergerak di celah-celah gunung dan lurah di ufuk permukaan bulan.



Katanya, bagi orang awam yang juga peminat gerhana matahari penuh, fenomena ini sama seperti terbentuknya kesan 'Baily's Beads'.


Menurutnya, waktu bermula dan berakhirnya penghijaban ini berbeza daripada satu lokasi ke lokasi lain.


Beliau berkata, kali terakhir fenomena ini berlaku di negara ini pada 27 Mei tahun lalu.


"Namun, ia berlaku pada waktu siang dan tidak ramai dapat menyaksikan sendiri berbanding fenomena kali ini apabila ia boleh dilihat dengan mata kasar ketika ini.


"Sebelum itu, fenomena sama berlaku pada 18 September 2017 dan ia turut boleh dilihat dengan mata kasar seperti fenomena pada malam ini yang kita sedang lihat," katanya.


Fenomena gelinciran bulan dan Planet Zuhrah yang berlaku malam ini (24 Mac 2023). - Foto Kosmo Online.

Fenomena gelinciran bulan dan planet Zuhrah. - Foto Ihsan Media Sosial.

Khamis, 2 Mac 2023

Saintis temui dua isyarat 'degupan' misteri dikesan dari Matahari

Saintis temui dua isyarat 'degupan' misteri dikesan dari Matahari


Saintis-saintis kebingungan setelah menemui dua isyarat misteri seperti bunyi 'degupan' yang dikesan berasal dari Matahari, lapor akhbar Daily Mail pada 27 Februari 2023.


Isyarat itu berulang-ulang dalam beberapa saat. Pasukan itu, yang diketuai oleh Institut Teknologi New Jersey (NJIT) berpendapat ia boleh membantu manusia untuk memahami dengan lebih baik mengenai letupan paling kuat sistem suria.


Isyarat yang direkodkan di atmosfera Matahari itu dilaporkan berulang setiap 10 dan 20 saat. Saintis percaya ia datang dari suar suria kelas C yang meletus lebih 5,000 kilometer di atas permukaan Matahari.


Suar suria merupakan letupan tenaga yang paling kuat. Letupan besar suar suria didakwa cukup untuk mengecilkan saiz Bumi.


Sijie Yu, ahli astronomi yang bergabung dengan NJIT, berkata dalam satu kenyataan menyifatkan penemuan itu sebagai 'tidak dijangka'.


"Corak degupan ini penting untuk memahami bagaimana tenaga dibebaskan dan dihamburkan dalam atmosfera Matahari semasa letupan yang sangat kuat.


"Bagaimanapun, asal usul isyarat berulang yang juga dipanggil denyutan kuasi-berkala ini telah lama menjadi misteri dan menjadi sumber perdebatan dalam kalangan ahli fizik," jelasnya.


Dengan menggunakan Expanded Owens Valley Solar Array (EOVSA) iaitu kemudahan Amerika Syarikat yang menjejaki frekuensi radio gelombang mikro, saintis dapat mengesan lokasi sebenar isyarat pertama.


Kajian mengenai dua isyarat itu masih diteruskan. - Sumber Daily Mail.


Saintis menemui dua denyutan berbeza yang terpancar dari Matahari. - Foto Daily Mail.

Ahad, 19 Februari 2023

Saintis beri amaran bahaya asteroid Itokawa, batu angkasa 'paling keras' yang boleh menceroboh pertahanan Bumi

Saintis beri amaran bahaya asteroid Itokawa, batu angkasa 'paling keras' yang boleh menceroboh pertahanan Bumi

Karya seni Sistem Suria, menunjukkan laluan lapan planet utama semasa mereka mengorbit Matahari. - Foto Getty Images.

Pakar-pakar memberi amaran mengenai sebuah asteroid bersaiz besar yang boleh menceroboh pertahanan Bumi sekiranya bergerak terlalu hampir dengan planet ini, lapor akhbar The Sun pada 24 Januari 2023 lalu.


Asteroid dikenali sebagai Itokawa itu memiliki ketinggian lebih daripada 1700 kaki, bersamaan dengan 535 meter.


Pakar-pakar menganggarkan bahawa impak yang menyebabkan terhasilnya Itokawa berlaku lebih 4.2 bilion tahun lalu, iaitu hampir menyamai usia sistem suria Bumi.


Menurut pakar Universiti Curtin di Perth, Profesor Fred Jourdan dan Profesor Madya Nick Timms, asteroid tersebut sukar untuk dimusnahkan berbanding dengan jasad kosmik lain.


"Asteroid merupakan ketulan serpihan berbatu di angkasa lepas yang merupakan sisa masa lalu yang lebih ganas dalam sistem suria kita.


"Terdapat dua jenis asteroid, iaitu jenis monolitik bersaiz kira-kira 1 kilometer (km) dalam diameter serta mempunyai jangka hayat yang diramal hanya beberapa ratus juta tahun," kata dua saintis tersebut.


Tambah mereka, satu lagi jenis asteroid adalah asteroid longgokan runtuhan seperti Itokawa, yang terdiri daripada batuan serpihan mampat dan akan menjadi lebih kuat dengan setiap hentaman.


"Pelanggaran berterusan hanya akan menghancurkan jurang antara batu dan bukannya memusnahkan batuan itu.


"Sekali ia terbentuk, amat sukar untuk memusnahkannya," tulis Jourdan dan Timms dalam satu laporan diterbitkan laman berita The Conversation.


Bagaimanapun, Agensi Angkasa Lepas Eropah berkata, Itokawa berada sekitar 42 juta kilometer dari Bumi, yang merupakan satu berita baik buat umat manusia. - Sumber The Sun.


BACA: NASA dedah imej terbaharu kapal angkasa DART hentam asteroid.


Ilustrasi longgokan runtuhan asteroid Itokawa. - Foto Kevin M.

Selasa, 14 Februari 2023

Saintis terkejut, sukar dipercayai secebis matahari 'terputus'

Saintis terkejut, sukar dipercayai secebis matahari 'terputus'


Satu klip video menunjukkan filamen gergasi plasma 'terputus' di Kutub Utara Matahari dirakam oleh NASA dalam peristiwa yang tidak pernah dilihat sebelum ini, menyebabkan saintis-saintis keliru, lapor portal berita Daily Mail pada 9 Februari 2023.


Rakaman itu menunjukkan filamen gergasi plasma atau gas berelektrik terpercik keluar dari Matahari, terpisah dan kemudian beredar dalam pusaran besar kutubnya.


Walaupun ahli-ahli astronomi keliru, mereka membuat spekulasi bahawa penonjolan itu ada kaitan dengan pembalikan medan magnet Matahari yang berlaku sekali bagi setiap kitaran suria atau setiap 11 tahun.


Video itu dikongsi di laman Twitter oleh ahli meteorologi angkasa lepas, Tamitha Skov yang berkata, klip video kemunculan fenomena suria pelik itu diambil daripada Balai Cerap Dinamik Suria milik NASA.


"Bercakap tentang pusaran kutub! Bahan dari bahagian utara (Matahari) baru sahaja terputus dari filamen utama dan kini beredar dalam pusaran kutub besar di sekitar kutub utara bintang kita," ciapnya.


NASA menggambarkan bahawa filamen suria sebagai awan zarah bercas yang terapung di atas Matahari selain ditambat padanya oleh daya magnet.


Scott McIntosh, pengarah bersama dan ahli fizik suria di Pusat Penyelidikan Atmosfera Kebangsaan di Boulder, Colorado, menjelaskan bahawa perkara pelik berlaku pada latitud 55 darjah Matahari sekali setiap kitaran suria.


Tetapi dia juga mengakui bahawa dia tidak pernah melihat pusaran skala ini: "Sekali setiap kitaran suria, ia terbentuk pada 55 darjah latitud dan mula bergerak ke arah kutub matahari. Ia sangat pelik," katanya.


Penyelidikan terhadap fenomena sedemikian adalah terhad kerana tiada cara untuk memerhatikannya dari kawasan kutub Matahari pada masa ini.


"Kita hanya boleh memerhati Matahari dari satah ekliptik, iaitu satah di mana planet mengorbit," kata McIntosh.


Walau bagaimanapun, dengan misi Pengorbit Suria Agensi Angkasa Eropah yang sedang dijalankan, saintis sekurang-kurangnya mempunyai akses yang lebih besar kepada pemahaman yang lebih dekat tentang bagaimana kitaran magnet Matahari boleh wujud di kaki langit (Matahari). - Sumber Daily Mail.


BACA: Pesawat NASA berjaya 'sentuh' Matahari dan akan 'menyelam' lebih dalam lagi hingga tahun 2025.


Filamen gergasi plasma (dalam bulatan) terputus di Kutub Utara Matahari baru-baru ini. - Foto Tamitha Skov/Twitter.